Connect with:




Tuan rumah Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, Perak melaungkan kesediaan untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa selepas disifatkan cemerlang pada penganjuran temasya Sukma tahun ini.

Perak menyatakan kesediaan untuk turut menjadi tuan umah kejohanan sukan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) selain penganjuran untuk atlet biasa.

Membuktikan kesungguhan kerajaan negeri Perak, semua venue sukan di negeri Perak bakal dinaik taraf menjadi lebih mesra OKU.

Sebahagian peruntukkan RM10 juta yang diumumkan kerajaan Persekutuan di dalam Bajet 2019 yang bakal diterima untuk pembangunan sukan bakal digunakan untuk membina kemudahan buat golongan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan berkata kemudahan yang bakal dimasukkan adalah ram, bilik penginapan, bilik air dan bilik mandi yang akan sesuai serta selesa untuk golongan OKU.

“Semoga ianya menjadi satu kelebihan yang mencerminkan kesungguhan, azam serta tekad kerajaan negeri Perak bagi memastikan segala fasiliti dan venue sukan mesra OKU.

“Saya rasa apa yang kami usahakan adalah sesuatuyang penting kerana kita tidak boleh nafikan bahawa negara atau negeri kita belum cukup mesra orang kelainan upaya,” kata Howard yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA XIX 2018 Perak di Ipoh, semalam.

Pada masa yang sama Howard menyatakan harapan agar kerajaan negeri memanfaatkan sumber yang bakal diterima atau yang sedia ada untuk pembangunan sektor sukan di negeri malah negara ini.

“Saya harap kerajaan negeri akan menggunakan segala sumber yang ada untuk memastikan sukan menjadi sebuah subsector ekonomi yang membawa manfaat kepada semua lapisan dan golongan masyarakat, termasuk golongan OKU,” jelasnya lagi.

Difahamkan seramai 2,046 atlet serta pegawai dari seluruh negara akan terlibat dengan kejohanan Para SUKMA XIX Perak yang bakal bermula 21 hingga 28 November ini.

Menawarkan 1,204 pingat termasuk 384 pingat emas menerusi 10 acara yang bakal direbut sebanyak 15 kontinjen bertanding.

 

Foto : FB Para SUKMA XIX 2018 Perak

Sumber : ASTRO AWANI