Connect with:




Keprihatinan kerajaan terhadap isu kebajikan atlet harus dianggap sebagai satu cabaran kepada mereka dalam usaha mengekalkan prestasi cemerlang dalam sukan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan atlet bertujuan untuk memastikan atlet memberikan tumpuan sepenuhnya dalam latihan tanpa ada gangguan perkara luar.

Tambah Ahmad Shapawi, program latihan baharu yang dikekalkan nama sebagai Program Podium harus dijadikan sasaran utama atlet seterusnya mencapai matlamat utama program itu untuk meraih emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik.

“Saya berasa lega apabila mendapat perhatian daripada pihak kerajaan yang sentiasa memberikan sokongan kepada pembangunan sukan negara. Saya harap dengan perubahan yang berlaku ini akan merangsang semangat dan motivasi atlet untuk sentiasa menunjukan prestasi cemerlang.

“Podium merupakan satu matlamat kepada seseorang atlet, tidak kira di mana tahap atlet itu berada yang pasti mereka sentiasa inginkan berada di atas podium sama ada gangsa, perak dan sudah pasti emas yang menjadi impian kesemua atlet,” katanya ketika pembentangan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan 2019 di sini.

Katanya lagi, atlet harus melihat pembaharuan sebagai satu langkah positif yang perlu diambil sebagai cabaran untuk mereka supaya mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang.

“Kami sediakan pakej kebajikan yang sebahagian dalam program latihan. Oleh itu, ia merupakan satu program yang merangkumi kesemua seperti kebajikan, kualiti latihan, pengurusan jurulatih dan pengurusan kemudahan latihan,” jelas Ahmad Shapawi.

Dalam majlis yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah membentangkan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan yang masih mengekalkan nama Program Podium serta peruntukan tambahan daripada pihak kerajaan sebanyak RM28 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM118 juta untuk program tersebut.

Selain itu, Syed Saddiq juga telah mengumumkan kadar terbaru elaun untuk atlet kebangsaan yang membabitkan atlet sepenuh masa dan separuh masa di bawah Skim Elaun Latihan atlet kebangsaan 2019 melibatkan 645 atlet keseluruhannya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi memberi jaminan bahawa MSN mampu menguruskan atlet yang ramai di bawah Program Podium baharu yang membabitkan 133 atlet podium, 409 Kita Juara dan 103 atlet yang tidak pernah menyertai mana-mana program.

“Sebelum ini, kami pernah mempunyai atlet yang ramai sehingga 1,000 atlet untuk dijaga. Sekarang kami perlu menjaga seramai 645 atlet dan tidak melibatan atlet pelapis. Maka dari segi pengurusan ia tidak akan menjadi satu masalah,” jelasnya. – BERNAMA

Foto : MSN