Connect with:




Spekulasi bakal terjawab apabila jaguh badminton negara,  Datuk Lee Chong Wei dijangka kembali ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi setelah sempurna rawatannya di luar negara.

Pemenang tiga pingat Perak Sukan Olimpik itu dikatakan menghadapi masalah pernafasan yang memaksanya menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing dan Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lepas.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai menegaskan, beliau enggan memberitahu lokasi Chong Wei mendapatkan rawatan meskipun mengakui sempat melawat jaguh badminton negara itu di luar negara, lapor Utusan.

“Dia berada dalam keadaan baik setakat ini. Chong Wei mungkin menyelesaikan rawatannya dalam tempoh seminggu lagi sebelum pulang ke Malaysia seminggu selepas itu.

“Peruntukan selama sebulan akan diberikan kepadanya untuk berehat dan mengikut nasihat doktor sebelum dia kembali menjalani latihan semula,” ujarnya.

Setakat ini, tiada mana-mana pihak yang tampil mengesahkan tentang kesihatan dan penyakit sebenar yang dialami oleh Chong Wei hingga menyebabkan timbulnya pelbagai desas-desus termasuklah pemain berkenaan menghidapi masalah saraf dan kanser.