Connect with:




Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga didenda satu minggu gaji berikutan keengganannya untuk keluar padang dalam perlawanan akhir Piala Carabao menentang Manchester City di Stadium Wembley, Ahad lepas.

Dalam insiden berkenaan Sarri menjelaskan salah faham berlaku antara dia dan Kepa selepas jurulatih tersebut membuat andaian mengenai Kepa yang mempunyai kekejangan dan patut dikeluarkan padang.

Susulan dari itu, dia mengarahkan Kepa untuk digantikan dengan Willy Caballero.

Kepa bagaimanapun menegaskan masih mampu bermain dan enggan diganti yang akhirnya membawa padah apabila Chelsea kalah 3-4 menerusi sepakan penalti.

Dalam perkembangan sama, Arrizabalaga memberitahu dia telah meminta maaf kepada Sarri, rakan pasukannya dan penyokong pada awal pagi semalam.

“Kelab itu telah membuat keputusan untuk mengenakan denda kepada Kepa dengan gaji satu dan ianya akan disumbangkan kepada  Yayasan Chelsea,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka.

Kepa dan Sarri juga mengeluarkan kenyataan untuk memperjelaskan kedudukan mereka berikutan kontroversi yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

“Saya banyak berfikir tentang peristiwa itu. Saya membuat kesilapan yang besar,” kata Kepa.

“Saya ingin memohon maaf sepenuhnya kepada jurulatih, kepada Willy, rakan sepasukan saya dan kelab.

“Saya akan belajar dari kesilapan ini dan akan menerima apa sahaja hukuman atau tindakan tatatertib yang ditetapkan oleh kelab.”

Sarri berkata selepas perlawanan itu, dia ada bersemuk dengan Arrizabalaga, yang menjadi penjaga gol paling mahal di dunia ketika bergabung dengan Chelsea sebanyak 80 juta euro (US $ 90.87 juta) tahun lalu.

“Kepa dan saya telah bercakap mengenai kejadian itu,” kata Sarri.

“Ia adalah perbincangan yang baik. Terdapat salah faham semalam tetapi dia sedar dia membuat kesilapan besar  dengan cara reaksi yang tidak sepatutnya.

“Dia meminta maaf kepada saya, rakan sepasukan dan kelabnya. Terserah kepada kelab jika mereka mahu mendendanya mengikut peraturan kelab, tetapi bagi saya perkara ini telah selesai,” katanya.

Foto: Fox Sport