Connect with:




Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota mengalami kecederaan retak hidung dan beberapa jahitan di bahagian bibir selepas van yang membawanya serta beberapa lagi pemain melanggar sebuah lori di lebuhraya MEX, awal pagi tadi.

Van tersebut membawa penumpang menuju ke Lapangan Terbang KLIA. Pemandu van tersebut telah meninggal dunia sementara 4 orang yang lain termasuk Momota mengalami kecederaan ringan.

Bintang Jepun itu baru sahaja memenangi gelaran Malaysian Masters pada Ahad selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen.

Laporan BERNAMA menyebut dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.40 pagi itu, van dipandu Bavan a/l Nageswarau yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata pemandu van yang tersepit itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala keempat-empat penumpang cedera ringan.

Selain Momota, mereka yang cedera adalah Hirayama Yu; Morimoto Arkifuki serta pemain badminton England, William Thomas.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.57 pagi.