Kenneth De Silva muncul pemain Malaysia kedua yang memenagi ADT

 

Pemain Malaysia, Kenneth De Silva menampilkan persembahan menakjubkan untuk memenangi kejohanan PGM Sarawak Master di Kelab Golf Sarawak pada Sabtu lepas sekaligus mencatatkan kemenangan sulungnya dalam Asian Development Tour (ADT).

Pemain berusia 21 tahun ini memulakan pusingan akhir dengan berada 3 pukulan dihadapan. Kelebihan ini nyata digunakannya sebaik mungkin selepas beliau akhirnya menamatkan cabaran ditangga pertama dengan jumlah 283 pukulan; 1 pukulan dihadapan pencabar terdekat Peter Richardson dari England. Charles Hong dari Filipina pula berada di tempat ketiga.

Kemenangan ini bermakna De Silva menjadi pemain Malaysia kedua selepas S.Sivachandran yang memenangi jelajah ADT; jelajah yang mula dilancarkan Asian Tour pada 2010.

“Saya rasa cukup gembira. Ini kemenangan pertama saya sejak bergelar professional dan persembahan terbaik saya setakat ini” kata De Silva yang memperoleh hadiah wang tunai RM31,500 (US$10,500) atas kemenangan ini.

“Saya memberitahu diri sendiri yang saya perlukan birdie dalam lubang terakhir untuk mengesahkan kejuaran. Kedi saya banyak membantu sekaligus saya rasa sangat yakin pada pukulan terakhir” jelas De Silva lagi.

Mengulas mengenai perancangan selepas ini, De Silva yang berjaya muncul 12 kejuaraan amatur berkata beliau akan memburu kejuaraan lain dan berusaha untuk berada di 3 terbaik dalam senarai Order of Merit; yang melayakkan pemain untuk bermain di Asian Tour 2013.

Jelajah ADT merangkumi 12 pusingan dengan pusingan terakhir akan diumumkan tidak lama lagi. Bermula tahun hadapan, semua acara ADT akan menawarkan mata World Golf Ranking sekaligus menjadi pemangkin terbaik untuk meningkatkan lagi golf di peringkat Asia.