Oleh : Muhammad Al Zaem

Biarpun tanpa 5 tonggak utama yang digantung perlawanan, Perak beraksi baik di Stadium Perak semalam. Perak menewaskan Kedah dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Shafiq Jamal minit ke 15 dan Mohd Failee Ghazali pada minit ke 36. Gol Kedah dijaringkan hasil tandukan Khyril Muhymeen pada minit ke 34.

Kedah yang tetap turun dengan barisan terbaik mereka biarpun tanpa Baddrol Bakhtiar yang digantung perlawanan akibat kad merah ketika menentang Sabah 3 hari lalu dilihat beraksi kurang baik dan hilang arah. Barisan pertahanan yang longgar dan kerap kali melakukan kesilapan menyebabkan mereka kempunan lagi untuk meraih kemenangan.

Norizan Bakar menurunkan barisan muda bersama 2 pemain pinjaman mereka iaitu Mohd Failee Ghazali dari USM FC dan Mohd Rafiuddin dari Harimau Muda dilihat bermain lebih matang dan tersusun dari awal permainan. Mereka tidak memberi banyak ruang buat Kedah untuk bergerak dan melakukan percubaan ke gawang mereka yang dikawal baik oleh Kamarul Effandi.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan A berkesudahan Sabah menang 3-1 ke atas Johor hasil dua jaringan Zainizam Marjan dan Radzi Mohd Hussin. Gol saguhati Johor adalah menerusi Azuwap Arip. Dengan kemenangan ini, Sabah memimpin Kumpulan A bersama Perak dengan 7 mata.

Di Stadium Tuanku Abd Rahman Paroi, Negeri Sembilan menang ke atas Terengganu 1-0 hasil jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ke 69. Dengan kemenangan ini mereka terus memimpin Kumpulan B dengan 9 mata diikuti Terenganu dengan 6 mata. Sementara itu di Stadium MBPJ, PKNS FC menewaskan Sime Darby FC 1-0 hasil jaringan P. Rajesh pada minit ke 9.

Eddy Helmi Manan pula menyumbangkan satu gol untuk Johor FC menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching untuk saingan Kumpulan C.

Satu lagi perlawanan untuk kumpulan ini akan berlangsung hari ini (14 Sept) antara Felda United dan Kelantan.

Derby Lembah Klang dalam Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Selayang menyaksikan Kuala Lumpur dan Selangor sekadar berkongsi satu mata dengan keputusan seri 0-0. Dengan ini Kuala Lumpur meneruskan aksi tanpa kalah mereka untuk 3 perlawanan berturut-turut.

Satu lagi perlawanan dalam kumpulan ini menyaksikan T-Team bangkit di Stadium Ismail Nasiruddin Shah selepas tewas dalam perlawanan sebelum ini. T-Team menewaskan PDRM 4-0 hasil jaringan Norfazli Alias, Fitri Omar, Mohd Norfarhan dan gol sendiri Azrul Azman. Dengan kemenangan ini T-Team berkedudukan kedua dengan 6 mata dibawah Kuala Lumpur yang mendahului dengan 7 mata.