Belum ada kemenangan lagi. Itulah pahit yang terpaksa ditelan Kedah ketika melayan kunjungan Johor FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam. Aksi kelompok bawah liga ini menyaksikan anak buah K. Devan memanfaatkan sepenuhnya penguasaan padang mereka dengan menang selesa 3-1 ke atas Kedah.

Babak pertama, Johor FC kerap melakukan gerakan merbahaya ke kubu Kenari, namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Shahrizal Saad dan Haris Safwan itu sedikit sebanyak menyelamatkan gawang tuan rumah dari dibolosi awal.

Akibat kesilapan pemain gantian Kedah, Mohd Latiff Suhaimi yang mengasari Khaironisam Shahabudin di dalam kotak penalti memberikan lawan penalti di penghujung babak pertama. Azi Shahril tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk pelawat mendahului perlawanan.

Kelemahan Kedah disebabkan beberapa pemain yang gagal berfungsi antaranya Fiqry Mat Isa, Faizal Abu Bakar dan Latiff Suhaimi, disamping kecemerlangan barisan pertahanan Lebah menahan asakan tuan rumah. Riduwan Maon memberikan Johor FC gol kedua hasil rembatannya dari luar kotak penalti menewaskan Abd Hadi buat kali kedua pada minit ke-65.

Pada minit ke-71, Khaironisam Shahabudin menyempurnakan gerakan serangan pantas yang dimulakannya dari bawah setelah bola yang dirembat Riduwan Maon ditepis Abd Hadi dapat kepadanya yang langsung tidak di kawal oleh benteng pertahanan Kedah.

Anak buah Mohd Nidzham Adzha akhirnya berjaya memperolehi gol pertama mereka musim ini apabila Khyril Muhymeen menyudahkan peluang yang diciptanya sendiri di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat lapan minit sebelum aksi ditamatkan.

Pertembungan menarik antara T-Team dan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pula berkesudahan dengan pasukan pelawat menang tipis 2-1. Ramez Dayoub menyempurnakan penalti untuk Selangor mendahului minit ke-35 sebelum Zairo Anuar Zalani menyamakan kedudukan juga menerusi penalti pada minit ke-48. Azidan Sarudin menjadi wira buat Gergasi Merah menerusi jaringan kemenangan minit ke-78.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, peneraju liga, Kelantan menang 3-0 ke atas pasukan tercorot, Kuala Lumpur dan mengutip mata penuh hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha (51’), Mohd Badri Radzi (73’) dan Dennis Antwi (78’). Walaubagaimanapun, Kelantan terpaksa menunggu sehingga babak kedua sebelum berjaya membolosi gawang lawan.

Sementara itu, jaringan tunggal pemain import, Francis Forke Doe minit ke-82 sudah memadai buat Terengganu yang berkunjung ke kandang lawan, Lions XII di Stadium Jalan Besar, untuk mengutip mata penuh dengan kemenangan tipis 1-0. Ini kekalahan kedua Lions XII di laman sendiri yang tewas pada Kelantan dalam aksi pertama liga sebelum ini.

Di Stadium Hang Jebat, gol sendiri pemain pertahanan Felda United, Khairan Ezuan Razali membolehkan Perak mengutip mata penuh, sementara Felda tumbang kali pertama di laman sendiri. Sebelum itu, Faderin Kadir menyamakan kedudukan minit ke-36 setelah Seladang mendahului perlawanan menerusi jaringan Michal Kubala minit ke-14. Perak menang 2-1.

Jaringan Zamri Morshidi minit ke-84 memastikan tuan rumah, Sarawak berjaya mencuri satu mata dari Negeri Sembilan dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Negeri Sarawak. Shakir Ali menjaringkan gol pertama Negeri Sembilan minit ke-45 sebelum disamakan menerusi penalti yang disempurnakan Kalle Sone (51’). Gol kedua Negeri Sembilan dijaringkan pemain berpengalaman, Shukor Adan minit ke-79.

Kelantan kekal menerajui Liga Super dengan kelebihan satu mata ke atas Terengganu dan Perak yang berkongsi 12 mata di kedudukan kedua liga. Kemenangan Johor FC ke atas Kedah pula membolehkan mereka keluar dari kelompok penyingkiran dengan melonjak ke kedudukan kelapan liga.