Connect with:




Juara remaja dunia 2018, Goh Jin Wei meluahkan rasa tekadnya untuk menjadi pesaing bagi merebut pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tatkala jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu mampu menjadi sandaran utama untuk membawa pulang pingat di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pemain berusia 18 tahun itu melakar kejayaan cemerlang apabila menjadi pemain pertama negara membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires bulan lalu selain memenangi kejuaraan remaja dunia untuk kali kedua di Markham, Kanada Ahad lalu.

Dia yang begitu bersemangat tinggi berkata bahawa mampu mempamerkan aksi terbaik pada temasya empat tahun sekali itu di Tokyo memandangkan masih berbaki dua tahun untuk membuat persediaan yang rapi.

“Saya tidak fikir perlu tunggu sehingga tahun 2024 untuk menjadi pencabar pingat di Olimpik kerana pada 2020 pun saya berpotensi untuk mendapatkannya.

“Kenapa perlu tunggu 2024 sedangkan saya boleh bersaing dalam tempoh dua tahun dari sekarang. Masa itu emas, saya perlu pergi dan berjuang,” katanya.

Untuk rekod, kali pertama Jin Wei merangkul gelaran juara remaja dunia adalah di Lima, Peru pada 2015.

Sementara itu, Jin Wei turut menyifatkan 2018 sebagai tahun paling cemerlang buat dirinya kerana merupakan tahun terakhir dia beraksi di peringkat remaja sebelum melangkah ke skuad senior.

“Tahun ini adalah tahun yang mengagumkan buat saya. Pada awal tahun saya banyak beraksi di peringkat senior dan banyak mengumpul perlawanan di sana. Saya gunakannya sebaik mungkin untuk persaingan peringkat remaja,” tambahnya.

 

FOTO: BAM