Connect with:




Niat sebenarnya menghadiri sesi pemilihan pasukan kriket SMK Methodist ACS Ipoh sewaktu di bangku persekolahan dulu sebenarnya hanyalah untuk ‘lari’ dari masuk ke kelas. Tidak disangkakan, tindakan itu membuka jalan kepada karier Anwar Arudin, ketua pasukan kriket kebangsaan.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini menceburi sukan kriket pada usia 15 tahun. Bakat istimewa yang ada pada dirinya dikesan jurulatih pasukan remaja yang melihat Anwar, seorang pemukul kidal berbakat besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Anwar seterusnya mewakili pasukan bawah 17 tahun Malaysia untuk ke Kejohanan Piala Tunku Jaafar. Sejak itu, bakat Anwar terus ditagih termasuk skuad senior kebangsaan. Anwar dihantar bermain di Australia yang menyaksikannya terpilih mewakili kelab Crusader ke Jelajah Eropah pada 2007.

Mengetuai skuad negara dalam memenangi emas kriket Sukan SEA tahun lalu, Anwar yang kini berusia 33 tahun turut merupakan seorang anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) berpangkal korporal. Anwar direkrut atas saranan Kolonel Gerard Denis Singam yang juga bekas pengurus pasukan kriket negara di Sukan Asia 2010.

Bermain mewakili pasukan kriket TUDM menyaksikan Anwar mencipta sejarah tersendiri dalam sukan ini. Ketika menyertai kejohanan International Defence Cricket Challange (DICC) dimana satu kejohanan kriket antarabangsa melibatkan perkhidmatan ketenteraan 4 negara iaitu Pakistan, Australia, New Zealand dan Malaysia, Anwar sentiasa menjadi bintang tumpuan kejohanan tersebut.

Pada edisi 2009, beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan termasuk terpilih menjadi ketua pasukan World Defense XI (pasukan kriket pilihan dunia yang terdiri daripada anggota tentera) untuk menentang satu pasukan profesional dari Australia.

Sehingga ke hari ini, Anwar masih memegang rekod sebagai satu-satunya pemain Malaysia yang menerima pengiktiran tersebut.

Kini selain fokus untuk menghadapi saingan Liga Kriket Dunia Divisyen 4 yang akan berlangsung bulan April nanti, Anwar turut aktif membantu program pembangunan kriket negara dengan memberi tunjuk ajar secara percuma kepada sekolah-sekolah yang berminat.

*Artikel penuh yang lebih padat mengenai perjalanan karier Anwar Arudin boleh dibaca di majalah Dunia Sukan edisi Januari 2018 yang berada di pasaran sekarang. Anda juga boleh membeli secara online di https://duniasukan.com/shop/