Nama-nama seperti Ann Osman, Audreylaura Boniface dan Jihin Radzuan adalah antara atlet wanita negara yang mewarnai sukan MMA di peringkat antarabangsa.
Kini muncul seorang lagi bintang yang pasti akan menggegarkan pentas MMA antarabangsa – Colleen Augustin.
Pada Sabtu lepas, Colleen muncul pemenang pingat emas divisyen strawweight kejohanan Terbuka Asia anjuran IMMAF-WMMAA di Bangkok. Kejayaan itu hadir dengan penuh bergaya dimana atlet kelahiran Pulau Pinang itu menewaskan lawan dari Kazakhstan, Nurzhamal Sadykova.
Umum mengetahui bukan mudah untuk menewaskan lawan dari bekas negara Soviet kerana ketahanan dan kelasakan atlet dari sana namun Colleen membuktikan keupayaannya dengan memenangi bukan satu tetapi dua lawan dari negara tersebut termasuk dalam peringkat separuh akhir.
Dalam aksi final, Colleen menewaskan Nurzhamal menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua. Malaysia turut memenangi satu pingat gangsa menerusi Brandon Tang dalam kejohanan tersebut.
Ia adalah kejayaan yang cukup bermakna buat Colleen. Setahun yang lalu, Colleen membuat kemunculan pertama dalam pentas MMA dalam siri RAMPAGE 4 di Sabah. Colleen berjaya menewaskan Christina Bato-on dalam pertarungan tersebut.
Berlatih di bawah gim Monarchy MMA, Colleen sebenarnya sudah dikenali sebagai seorang atlet vegetarian. Malah, atlet berusia 21 tahun ini kerap menduduki podium dalam acara larian serta larian berhalangan seperti Spartan Race. Tidak ketinggalan, sukan-sukan tempur lain seperti brazilian jiu-jitsu, muay thai dan kickboxing.
Kredit Foto: Facebook Colleen R. Augustin – Athlete