Connect with:




Rakyat Malaysia sememangnya meminati kelajuan terutamanya dalam perlumbaan motor, khususnya perlumbaan jenis dua roda. Boleh dikatakan terbanyak banyak persatuan atau kelab bermotor di Malaysia dan acara-acara yang melibatkan sukan bermotor.

Malaysia boleh dikatakan sebagai negara yang banyak mengeluarkan para pelumba motosikal, ini dapat dibuktikan dengan beberapa pelumba berbakat telah berjaya ke kejuaraan dunia untuk bersaingan dengan pelumba-pelumba handalan dunia dalam arena sukan bermotor.

Mereka berjaya membuktikan bahawa mereka berada di kelas tersendiri bukan seperti ‘Mat Rempit’ yang sekadar menunjukkan kemahiran di jalan yang salah. Berikut merupakan senarai pelumba Malaysia yang telah berjaya menempatkan diri di kejuaraan dunia.

 

  1. Khairul Idham Pawi

Khairul Idham Pawi

Debut Moto3: 2015

Podium: 2

Tahun Aktif di Moto3: 2015-2016

Tahun Aktif di Moto2: 2017- sekarang

Pasukan Semasa: Petronas Sprinta Racing

 

Beliau membuat debut Moto3 Grand Prix (GP) selepas mendapat wildcard di Aragon pada 2015 yang mewakili pasukan Honda Team Asia dengan menunggang jentera Honda, beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-25.

Pada 2016, pasukan Honda Team Asia telah menandatangani pelumba kelahiran Perak ini untuk musim 2016 dan bersama dengan pelumba dari Jepun, Hiroki Ono. Keputusan tersebut nyata tepat apabila Khairul berjaya mencatat kemenangan di Argentina dan Jerman dalam trek basah membuktikan beliau adalah pakar trek basah. Akhirnya beliau berjaya menamatkan musim tersebut dengan kedudukan ke-10 di dalam senarai Moto3.

Pada 2017, laman web rasmi MotoGP mengumumkan Khairul akan bersama Takaaki Nakagami dalam pasukan Idemitsu Honda Team Asia untuk menggantikan Ratthapark Wilairot dalam kategori Moto2 sehingga 2018. Musim ini, Khairul bersama pasukan Petronas Sprinta Racing dan telah mengharungi tiga perlumbaan.

 

  1. Adam Norrodin

Adam Norrodin

Debut Moto3: 2016

Podium: 0

Tahun Aktif di Moto3: 2016-2018

Pasukan Terakhir: Petronas Sprinta Racing

Adam membuat debut di kejohanan dunianya dalam siri Moto3 pada 2016 dengan cukup baik bersama Pasukan Drive M7 SIC Racing. Beliau berada dikedudukan ke-28 keseluruhan pada musim pertamanya. Mungkin anda masih ingat semangat yang ditunjukkan pelumba muda ini telah memberi inspirasi kepada semua orang ketika kejohanan GP Moto3 Argentina di mana ketika itu Adam berada di kedudukan ketiga di belakang rakan sepasukannya, Khairul Idham Pawi dan Jorge Navarro sebelum jenteranya tergelincir di selekoh terakhir ketika cuba mengatasi Navarro.

Apa yang lebih menarik beliau bangun dan terus menolak jenteranya seberat hampir 160kg untuk ke garisan penamat walaupun dilintas oleh lapan pelumba yang lain. Ketika itu beliau menjadi perhatian di saat pelumba lain tidak percaya beliau ke garisan penamat dengan berlari walaupun dalam keadaan cedera.

Setelah itu, Adam kekal bersama Pasukan SIC Racing pada 2017 dan beliau berjaya meningkatkan prestasi pada kedudukan ke-17 dalam musim tersebut. Adam meneruskan dengan Pasukan SIC Racing yang kini dinamakan semula Petronas Sprinta Racing untuk musim 2018.

Adam juga mempunyai banyak pengalaman berlumba di beberapa kategori perlumbaan antarabangsa termasuk FIM CEV Moto3 Championship, Asia Talent Cup, FIM CEV Moto3 Junior World Championship dan Asia Talent Cup pada 2014 dan 2015 berturut-turut.

 

  1. Hafizh Syahrin

Hafizh Syahrin

Debut Moto2: 2011

Podium: 3

Tahun Aktif di Moto2: 2011-2017

Tahun Aktif di MotoGP: 2018- sekarang

Pasukan Semasa: Red Bull KTM Tech3

Beliau memulakan debut bersama Petronas Malaysia dalam Moto2. Pada 2012 menjadi titik tolak pelumba yang dikenali dengan ‘Raja Motosikal Poket’ apabila mendapat wildcard di Kejohanan GP Malaysia meyaksikan beliau berjaya mendapat tempat ke-3 sehingga beliau diberikan tempat sepenuh masa bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia sehinggalah musim 2017.

Pada 2014, beliau berada dikedudukan ke-19 dengan 42 mata manakala prestasi beliau semakin meningkat pada musim 2015 apabila bejaya mengumpul 64 mata dan di kedudukan ke-16. Pada musim 2016, Hafizh telah mengejutkan ramai apabila berjaya menduduki tempat ke-4 perlumbaan dalam tiga perlumbaan GP di Qatar, Catalunya dan British dan berjaya menduduki tempat ke-9 keseluruhan dengan 188 mata. Pada 2017 pula beliau berjaya berada dipodium sebanyak dua kali apabila mendapat tempat ke-2 di GP San Mariano dan tempat ke-3 di Jepun dan mengutip 108 mata untuk kedudukan ke-10 keseluruhan.

Pada 2018, Hafizh berjaya dalam musim pertamanya dalam MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3 dan berjaya menduduki tempat ke-16 keseluruhan dengan 46 mata. Kini beliau dibawah nama pasukan Red Bull KTM Tech3 yang baru sahaja menamatkan empat perlumbaan.

 

  1. Hafiq Azmi

Hafiq Azmi

Debut Moto2: 2013

Podium: 0

Tahun Aktif di Moto3: 2013-2014

Pasukan Terakhir: SIC-Ajo

Hafiz menimba pengalaman berlumba dengan Motor Mini sebelum layak berlumba di GP Aprilia Junior pada 2009 dan Malaysian Cubprix pada 2010. Gaya tunggangan kompetitif beliau berjaya melayakkan diri untuk mendapat tempat di Red Bull MotoGP Rookies Cup pada 2011 dan 2012 yang membuka ruang mendapat debut untuk Moto3 pada 2013.

Pada 2013, beliau berlumba dalam empat perlumbaan dengan tiket wildcard untuk pasukan Touchline-SIC-Ajo dan La Fonte Tascaracing di Malaysia, Australia, Japan dan Valencia. Kemudian Hafiz dipilih untuk bersama pasukan SIC-Ajo untuk beraksi pertama kali dan satu-satunya musim penuh pada 2014 sebelum bersara pada 2015.

 

  1. Azlan Shah

Azlan Shah

Debut Moto2: 2013

Podium: 0

Tahun Aktif di Moto2: 2013-sekarang

Pasukan Semasa: ONEXOX TKKT SAG

Bermula dengan tiket wildcard dengan menggantikan pelumba dari Jepun, Yuki Takahashi di GP San Marino pada 2013 dan selepas itu, beliau menikmati dua musim penuh di Moto2 dengan pasukan Honda Team Asia pada 2014 dan 2015.

Pada 2014, beliau menamatkan musim tersebut tanpa sebarang mata tetapi pada 2015 prestasi Azlan meningkat dengan meraih mata dalam lima perlumbaan termasuk berada di tempat ke-4 perlumbaan di Jepun dan mengumpul sejumlah 24 mata di kedudukan ke-23 keseluruhan. Kini pelumba berusia 35 tahun itu bersama ONEXOX TKKT SAG dalam Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV).

 

  1. Zulfahmi Khairuddin

Zulfahmi Khairuddin

Debut Moto2: 2009 (wildcard 125cc)

Podium: 2

Tahun Aktif di Moto3: 2012-2015

Tahun Aktif di Moto2: 2018

Pasukan Terakhir: Petronas Sprinta Racing

Pelumba kelahiran Banting, Selangor ini membuat kemunculan sulungnya dalam kejohanan dunia 125cc pada GP Malaysia 2009 dan menduduki tempat ke-20. Pada 2010, Zulfahmi berlumba dalam musim penuhnya dengan jentera Aprilia di bawah pasukan AirAsia–Sepang International Circuit.

Pada 2012, Zulfahmi menjadi pelumba negara pertama yang berjaya menaiki podium di Moto3 apabila berada di tempat ke-2 di Sepang dan ke-3 di Valencia dengan pasukan AirAsia SIC–Ajo dan berada di tempat ke-7 keseluruhan dengan 128 mata. Kemudian pada 2013, beliau bersama pasukan Red Bull KTM Ajo dan berada dikedudukan ke-12 keseluruhan. Pada 2014, beliau bersama Ongetta–AirAsia dan berada ditempat ke-20 keseluruhan dan mengakhiri Moto3 dengan kedudukan ke-23 bersama pasukan Drive M7 SIC sebelum beliau ke Moto2.

Pada 2018, Zulfahmi bersama dengan Pasukan SIC Racing yang kini dinamakan semula Petronas Sprinta Racing sebelum beliau mengundurkan diri dari daripada kejuaraan Moto2.

 

  1. Shahrol Yuzy

Shahrol Yuzy

Debut 250cc: 1996

Podium: 0

Tahun Aktif di 250cc: 1996-2002

Pasukan Terakhir: Petronas Sprinta Team TVK

Shahrol Yuzy merupakan anak kelahiran Teluk Intan, Perak merupakan pelumba GP pertama negara yang bersaing dengan pelumba terbaik dunia. Persembahan beliau yang memuaskan telah membuka peluang kepadanya untuk membuat debut dengan tiket wildcard di perlumbaan GP Malaysia pada ketika itu.

Peluang ini memberi laluan keapda beliau untuk muncul di dalam kategori 125cc dan 250cc sebelum berjaya melengkapkan lima musim dengan pasukan Petronas Sprinta TVK dalam kategori 250cc. Selepas bersara daripada perlumbaan motosikal pada akhir 2002, beliau berkhidmat sebagai mentor sepenuh masa pasukan Petronas Sprinta Racing untuk Malaysian Cub Prix dari 2003 hingga 2007 sebelum berpindah ke pasukan Modenas Yuzy Pachi pada 2008.

Foto: Motorsports