Connect with:




Seramai 15,000 orang telah ‘turun padang’ untuk menyambut edisi ketiga Hari Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Bukit Jalil.
Antara kelainan pada sambutan tahun ini yang berlangsung serentak di seluruh negara adalah penglibatan atlet negara dalam memeriahkan sambutan dan menarik minat rakyat untuk membudayakan aktiviti bersukan dalam kehidupan seharian.
Terdapat 8,000 peserta menyertai acara larian, Fun Run yang merangkumi trek sepanjang 5km dan 10 km manakala 3,000 lagi peserta turut serta dalam acara basikal, Fun Ride, sejauh 5km dan 10km.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memulakan gerakan pertama Hari Sukan Negara pada tahun 2015, turut mengambil bahagian dalam acara basikal.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali rasa gembira dengan penglibatan ikon sukan dan atlet yang bersaing di Sukan SEA turut hadir di negeri masing-masing untuk memberi sokongan.
Beberapa atlet negara seperti, Farah Ann Abdul Hadi, Leong Mun Yee, Muhd ​​Irfan Shamsuddin, Mohd Ziyad Zolkefli dan Mohd Ridzuan Puzi turut hadir untuk menunjukkan sokongan mereka.
Pada bulan Ogos lalu, Malaysia meraih juara keseluruhan di kejohanan Sukan SEA 2017 dengan mengumpul 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa manakala kontijen para negara muncul sebagai naib juara pada Sukan Para ASEAN selepas mengutip 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa, bulan lalu
Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu kedua setiap Oktober bermula 2015 dengan tujuan untuk memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan rakyat Malaysia supaya sentiasa bersukan sehingga ia menjadi budaya hidup.