Pandelela Terus Terima Durian Runtuh

 

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong terus menerima ‘durian runtuh’ selepas kejayaannya memenangi pingat gangsa Olimpik London yang lepas. Kali ini giliran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengiktiraf beliau.

Pandelela menerima insentif bernilai RM 10,000 dari Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu majlis penghargaan kepada atlet IPT.

“Insentif dari KPT ini bertujuan untuk membantu atlet dalam mencapai prestasi cemerlang bukan sahaja dalam bidang sukan malah untuk pencapaian akademi juga” ujar Datuk Seri Mohamed Khalid selepas upacara penyampaian tersebut.

Bagi Pandelela yang turut menerima surat tawaran pengajian Universiti Malaya pada majlis tersebut, beliau akan menggunakan sebaiknya insentif tersebut untuk memajukan kareer beliau sebagai seorang atlet dan pelajar.

Pandelela juga bertegas status sebagai pelajar tidak akan menggangu fokusnya dalam sukan terjun lebih-lebih lagi dengan harapan emas di Rio de Janerio nanti turut diletakkan dibahu beliau.

“Tiada masalah buat saya. Yang penting adalah saya perlu pandai membahagikan masa” kata Pandelela yang memilih jurusan sains sukan di UM nanti.

Majlis turut meraikan pencapaian trio memanah wanita negara yang memenangi perak di Kejohanan Memanah Universiti Dunia 2012 di Cordoba, Julai lepas serta pelancaran insuran IKWAN dan pelancaran buku ‘Sukan Menjulang Kecemerlangan IPT@KPT 2011’ oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.