Connect with:




 

Kejayaan pemain negara, Lee Zii Jia meraih gelaran sulungnya dalam jelajah BWF sedikit sebanyak berjaya meredakan kesuraman dunia badminton negara yang dilanda sepi ekoran berita buruk yang menimpa kesihatan lagenda negara, Datuk Lee Chong Wei serta kematian bekas rakan sepasukannya, Tan Chee Tean.

Zii Jia yang baru berusia 20 tahun muncul juara Siri Super Terbuka Taiwan dengan cukup bergaya termasuk menewaskan dua pemain pilihan dari negara tuan rumah sebelum mengalahkan pemain Jepun, Riichi Takeshita.

Bermula dari kejayaan memenangi gangsa Kejuaraan Dunia di Sepanyol pada 2016, pemain berasal dari Alor Star ini semakin hari menunjukkan potensinya sebagai bintang yang akan menggantikan Datuk Lee Chong Wei.

Bagi Zee Jia, dia gembira dengan kejayaan ini namun tidak mahu terbawa-bawa sebaliknya mahu menjadikannya sebagai motivasi untuk lebih berjaya.

Kemenangan ini menamatkan kemarau 14 tahun Malaysia dalam menjuarai Terbua Taiwan selepas Lee Chong Wei memenanginya pada 2004.

Selain Zii Jia dan Chong Wei, dua lagi pemain negara yang pernah memenangi Terbuka Taiwan ialah Datuk Misbun Sidek pada 1987 dan Wong Choong Hann pada 2003.

FOTO KREDIT: BWF World Tour