“Saya sayang ayah, ini untuk ayah”.

Itulah yang diungkapkan bintang MMA Malaysia, Hisyam Samsudin selepas memenangi pertarungan menentang Jeremy Meciaz di ‘ONE: Total Victory’ di Jakarta pada Sabtu.

Kemenangan secara TKO ke atas lawannya dari Indonesia itu sememangnya penuh emosi. Bukan kerana berjaya mendiamkan ribuan penyokong Indonesia di halaman sendiri tetapi Hisyam beraksi sehari selepas kehilangan ayahnya, Samsudin Masaleko.

Menurut New Strait Times, Samsudin meninggal dunia pada Jumaat di hospital selepas mengikut keluarganya ke Indonesia untuk menyaksikan pertarungan anaknya itu.

“Saya sempat bergambar dengan ayah di hotel. Pada Jumaat, ibu memberitahu ayah sudah berada di hospital” kata Hisyam yang terus ke hospital tersebut namun pada waktu itu ayahnya sudah pun menghembuskan nafas terakhir.

Hisyam memberitahu dia tidak pasti sama ada mahu meneruskan atau tidak pertarungan.

“Ibu memberi sokongan untuk saya teruskan beraksi apabila berkata ayah sanggup terbang ke sini untuk melihat saya berlawan” kata anak kelahiran Tawau ini.

Kemenangan ke atas Jeremy itu merupakan kemenangan pertama Hisyam yang berlatih di bawah gym Borneo Tribal Squad dalam kariernya di ONE Championship selepas tewas kepada rakan senegara, Muhammad Aiman pada kemunculan sulung tahun lalu.

Dalam pada itu, pertarungan utama melibatkan bekas juara dunia flyweight, Kairat Akhmetov berjaya menumbangkan Geje Eustaquio dari Filipina menerusi keputusan juri.