Connect with:




Meninggalkan tiga pesaing terdekat dengan kelebihan lima pukulan, pemain golf Australia, Marc Leishman mengesahkan gelaran juara Kejohanan CIMB Classic 2018 di TPC, Kuala Lumpur semalam dengan kelas tersendiri.

Melakukan catatan keseluruhan 26 di bawah par 262 pukulan, Lieshman mengetepikan cabaran Emiliano Grillo, Chesson Hadley dan Bronson Burgoon bagi mengesahkan mahkota kejuaraan menjadi miliknya.

Tekanan psikologi dari penyokong tuan rumah yang majoritinya ingin melihat wakil India, Shubhankar Sharma keluar sebagai juara Asia pertama nyata tidak menjejaskan persembahan pemain pada kedudukan 24 dunia itu.

“Saya sudah biasa dengan kehadiran penonton yang tidak menyokong saya dalam jelajah PGA namun saya berjaya terjemahkan aspek itu kepada pembakar semangat buat diri saya.

“Kunci kejayaan saya minggu ini adalah pastikan bola jatuh di fairways dan keadaan lapangan golf ini banyak membantu saya. Senang untuk menghasilkan birdie apabila anda dapat melakukan hal sedemikian,” katanya pada sidang akhbar sejurus selesai majlis penyampaian hadiah.

Leishman nyata gembira dengan kejayaannya itu dan berharap dapat meneruskan kecemerlangan sehingga ke hujung tahun ini.

“Kejuaraan ini sangat bermakna buat saya yang mengharungi kemarau gelaran musim ini dan saya harap tuah saya di sini akan terus bersama bagi mengharungi beberapa lagi kejohanan sebelum tamat hujung tahun ini,” ujarnya lagi.

Memperagakan pukulan menarik, Leishman mula mendahului pada pusingan kedua dan ketiga dengan catatan keseluruhan satu eagle, 28 birdie dan empat bogey, sekaligus mengesahkan kejuaraan dengan membawa pulang wang tunai AS$1.26 juta (RM5.23 juta) serta trofi kejohanan, Piala FedEX Jelajah PGA yang disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Foto : Facebook CIMB Classic

SUMBER : Bernama