Misi mengutip mata penuh di laman sendiri dianggap sebagai misi besar pasukan The Red Warriors apabila skuad Kelantan akan bertembung dengan Perak pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Tidak pernah menang dalam tiga perlawanan sebelum ini, kemenangan ini amat penting bagi mereka untuk keluar dari sangkar tercorok liga dan mendapat kemenangan sulung.

Menurut penjaga gawang Kelantan Khairul Fahmi Che Mat, bagi mencapai tiga mata penuh esok, rakan sepasukannya perlu bekerja keras dan tidak berputus asa biarpun agak sukar selepas melihat Perak berada di kelompok yang terbaik.

“Skuad Kelantan mempunyai motivasi yang tinggi apabila Mohammed Ghaddar dimasukkan ke dalam kem Kelantan.

“Melihat motivasi rakan sepasukan berada di tahap yang baik, tidak mustahil untuk Kelatan bangkit memberi persembahan terbaik berdepan dengan pasukan The Bos Gaurus,” katanya pada Sinar Harian

Dia juga mengulas tentang isu penyingkiran ketua jurulatih, Sathit Bensoh tidak memberi kesan dalam prestasi mereka untuk berdepan saingan musim ini.

Kerjasama yang ditunjukkan dari barisan pemain kepada pengendali sementara, Yusri Che Lah merangka strategi amat baik sekaligus dapat merealisasikan misi kemenangan di tempat sendiri.

“Alhamdulillah, saya nampak pemain mengikuti arahan jurulatih itu dengan baik. Kita ada masa dua minggu persiapkan pasukan dan di situ kita mengambil peluang bekerjasama dengan Yusri untuk membina semula pasukan.,” katanya.

Foto Kredit: Kelantan FA