Final Piala FA 2012 pada 19 Mei ini bakal menobatkan juara baru apabila juara bertahan, Terengganu disingkir pasukan Liga Perdana, Sime Darby FC dalam aksi separuh akhir kedua malam tadi. Finalis tahun lalu, Kelantan turut melangkah ke final apabila layak dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Di Stadium Darul Aman, Kedah melepaskan peluang untuk ke final buat kali kelima apabila diikat 2-2 oleh Kelantan walaupun selesa mendahului aksi babak pertama hasil dua jaringan penyerang, Khyril Muhymeen. Aksi pertama di Kota Bharu minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Khyril Muhymeen menjaringkan dua gol pada minit ke-30 dan 42 membolehkan Kedah memimpin aksi babak pertama dan turut dibantu aksi yang membanggakan oleh barisan pertahanan yang diketuai oleh Mohd Fauzi Nan. Namun segalanya berubah dalam aksi babak kedua.

Aksi longgar benteng pertahanan tuan rumah membolehkan Kelantan bangkit menyamakan kedudukan hasil gol pertahanan kental, Obinna Nwaneri dan Mohammed Ghaddar, masing-masing pada minit ke-46 dan 60. Kedah yang dilihat cuba bangkit berterusan dikecewakan kubu pertahanan pelawat yang kembali kukuh bertahan.

Sementara itu, Sime Darby pula mengikat juara bertahan, Terengganu di Stadium MP Selayang dengan keputusan seri tanpa jaringan seterusnya layak dengan agregat 2-1 hasil kemenangan pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.

Terengganu yang menurunkan barisan terbaik mereka gagal menterjemahkan peluang yang diperolehi untuk mengatasi defisit jaringan tuan rumah yang tidak dibarisi bintang penyerang mereka, Patrick Ronaldinho Wleh yang digantung perlawanan.

Anak didik Mat Zan Mat Aris sebenarnya gagal dari pusingan pertama lagi apabila tewas di laman sendiri dan ini memberikan tekanan tambahan apabila beraksi di laman lawan. Walaupun mencuba sebaik mungkin merobek gawang lawan, Redzuan Harun kemas mengawal gawangnya.

Sejarah yang dilakar Sime Darby adalah merupakan kelab pertama yang layak ke pentas final Piala FA sejak ia diperkenalkan sementara Kelantan pula layak untuk kali ketiga dan setakat ini masih belum pernah menjulang piala ini sejak diperkenalkan pada tahun 1990.