Kota Bharu: Pasukan Kelantan tampak goyah pada perlawanan semalam apabila hanya seri tanpa jaringan menentang PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

 

Prestasi dan perlawanan yang tidak menentu yang ditunjukkan Kelantan menyebabkan perjalanan mereka dalam Liga Super semakin kelam.

 

Kelantan mensia-siakan kelebihan mereka sebagai tuan rumah dan membiarkan PKNS FC mendominasi perlawanan babak pertama.

 

Peluang yang terhidang tidak dibazirkan oleh PKNS FC apabila Mohd. Safee Sali hampir meledakkan gol pada minit ke-32, namun percubaannya dihalang penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

 

Ketangkasan Khairul Fahmi sekali lagi menyelamatkan Kelantan daripada dibolosi gol apabila dia berjaya menepis tandukan terbang Safee Sali pada minit ke-43.

 

Babak kedua menyaksikan tuan rumah garang mengatur serangan namun skuad kendalian Zahasmi Ismail itu tidak dapat menghasilkan jaringan kerana ketumpulan jentera serangan pasukan.

 

Kelantan nyaris untuk berada di hadapan apabila importnya Mamadou Danso, m-81 hampir menyumbat gol ke gawang PKNS FC namun sedikit tersasar.

 

Segala percaturan yang dilakukan jurulatih Kelantan tidak membuahkan hasil. Percaturan dengan membawa masuk pemain seperti Mohd.Nor Farhan Mohammad dan Alessandro Celin gagal mengubah keputusan perlawanan.

 

Kelantan perlu menewaskan Melaka United FC pada 20 Oktober depan untuk memastikan mereka tidzk turun ke Liga Perdana dan berharap agar saingan terdekat mereka,Sarawak FA untuk tewas kepada lawannya.

 

Foto Kredit: Asiana.MY