kafa

 

Kerajaan Kelantan hari ini bersetuju untuk melupuskan cukai hiburan yang dikenakan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi tahun lepas yang dianggar berjumlah RM300,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan
Datuk Ab Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk tidak
mengenakan cukai itu kepada Kafa bagi tahun ini.

“Keputusan itu dicapai pada mesyuarat exco kerajaan Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini, bagi menghargai Kafa dan juga komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sukan bola sepak terus berkembang maju di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.

Enakmen Cukai Hiburan 1953 memperuntukkan kerajaan Kelantan mengenakan cukai hiburan sebanyak lima peratus terhadap mana-mana jenis pertandingan sukan
melibatkan binatang atau manusia.

Pada April 2010, kerajaan negeri memutuskan untuk melupuskan tunggakan
hutang cukai hiburan yang dipungut melalui jualan tiket perlawanan bola sepak
oleh Kafa berjumlah lebih RM198,000 sejak 2003. – BERNAMA