Selepas pasukan Terengganu memulakan kempen Piala AFC mereka semalam, kini tiba giliran sebuah lagi wakil Malaysia dalam pertandingan tersebut untuk mengorak langkah sulung mereka. Pasukan Kelantan selaku Juara Liga Super Malaysia 2011 akan turun menentang sebuah lagi pasukan dari Vietnam, Navibank Sai Gon yang bertanding di atas tiket sebagai pemenang Piala Vietnam musim lepas.

Seperti Kelantan, ianya juga penampilan sulung buat kelab yang berpengkalan di Bandaraya Ho Chi Minh itu dalam pertandingan peringkat benua.

Berbekalkan rekod yang baik sejak bermulanya musim Liga Malaysia 2012, Kelantan sudah pasti turun dengan penuh keyakinan terutama dengan kedudukan mereka selaku pendahulu Liga Super. Namun sedikit krisis dalaman dalam pasukan ‘Red Warrior’ itu yang menyaksikan  Bojan Hodak mengambil alih tugas dari Peter Butler sebagai ketua jurulatih mungkin akan merencatkan sedikit perjalanan mereka. Namun kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada hari Ahad baru-baru ini sudah pasti akan menyuntik semangat kepada para pemain Kelantan.

Selain dari itu, barisan pertahanan Kelantan juga terpaksa menjalani sedikit rombakan apabila pemain pertahanan tengah, S. Subramaniam mengalami kecederaan sewaktu perlawanan menentang Negeri Sembilan tersebut. Seorang lagi pemain pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin diberitakan diberi ‘cuti’ selepas terbabit dalam kemalangan jalanraya beberapa hari yang lepas. Ketiadaan Azizi Matt Rose menghadkan lagi pilihan Hodak untuk memilih siapa yang akan digandingkan bersama dengan Obinna Nwaneri nanti.

Harapan para penyokong Kelantan sudah pasti diletakkan kepada ketua pasukan, Badri Radzi untuk menguasai bahagian tengah bersama dengan Shakir Shaari. Turut diberitakan bahawa penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha juga berkemungkinan tidak dapat diturunkan. Tetapi dengan empat pemain import dibenarkan beraksi maka Hodak mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat  Onyekachi Nwoha, Denny Antwi dan Mohammed Ghaddar selain dari Nwaneri.

Selain dari itu harapan juga diletakkan ke atas dua pemain berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin dan juga Norfarhan Mohammad untuk membuka kunci pertahanan pasukan Navibank.

Sebagai penduhulu Liga Super Malaysia, Kelantan dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menang terutama apabila dilihat pasukan pelawat yang kini menduduki tempat ke sebelas dari empat belas pasukan dalam Liga Super Vietnam dengan hanya dua kemenangan setakat ini dari lapan perlawanan. Namun begitu para pemain mereka sudah pasti ingin mengenepikan kekecewaan domestik dan akan cuba untuk menghasilkan satu keputusan yang positif malam ini.