Juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan diundi di dalam Kumpulan C bersama Sarawak dan 2 pasukan berstatus kelab iaitu Johor FC dan Felda United di dalam majlis undian di pentas utama Stadium Nasional petang tadi. Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan disiarkan secara langsung di Astro Arena Saluran 801.

Pasukan jiran tetangga dari Utara, Kedah dan Perak diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama Sabah dan Johor. Pasukan Seladang dijangka berhempas pulas untuk layak ke peringkat seterusnya apabila 5 pemain utamanya digantung permainan akibat insiden semasa liga. Kedah pula diramalkan memperbaiki nasib mereka di bawah kendalian Wan Jamak Wan Hassan.

Juara Piala FA 2011, Terengganu pula beradu nasib di dalam Kumpulan B bersama finalis Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan. Turut mengintai peluang untuk layak adalah juara Liga Perdana 2011, PKNS dan pemenang dari perlawanan playoff iaitu Sime Darby FC.

Di dalam Kumpulan D, Selangor yang membuat persiapan awal dijangka mudah melepasi saingan apabila diundi bersama T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM.

Perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia dijadualkan bermula pada 6 September 2011.

Gambar : Azhari Mohd Yusof l DS Images