kafa

Juara treble musim lepas, Kelantan mengakui sukar untuk mempertahankan gelaran pada tahun ini berikutan bakal berdepan persaingan sengit daripada beberapa pasukan lain.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata bagaimanapun beliau tetap optimis Kelantan akan mengulangi kejayaan sama pada musim ini meskipun kehilangan beberapa tonggak utama.

“Kehilangan tiga tonggak utama pasukan seperti Norshahrul Idlan Tahala, Nurul Azuan Roya dan Mohammad Ghaddar yang memilih untuk berhijrah kepada pasukan baharu sedikit merencatkan persiapan kami kerana ia berlaku di akhir musim dan  KAFA mempunyai masa yang singkat untuk mencari pengganti mereka.
“Saya jangka kita akan bersaing sengit dengan beberapa pasukan seperti Perak, Selangor, Terengganu, Johor Darul Takzim dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kita lihat mereka juga buat persiapan rapi pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi dan barangan rasmi ‘The Red Warriors’ serta pengumuman penaja musim 2013 di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut KAFA memperkenalkan 10 penaja rasminya untuk musim ini iaitu syarikat prabayar Hotlink  Maxis, Azizan Osman.com, Sinar Harian, Tresenergy, Muda Osman, Mamee, Desa Murni Batik, Pure’re Spritz, Redbull dan Keropok Sira Cap Nara Pasir Puteh.

Annuar melihat tentangan sengit daripada pasukan lawan, sebagai perkembangan yang sihat dalam kancah bola sepak negara dan usaha untuk memperkasakan persiapan ‘The Red Warriors’ bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

“Saya anggap perkara ini sebagai satu persaingan yang sihat dan secara tidak langsung akan meningkatkan lagi permainan pasukan.  Ini adalah langkah yang baik untuk meningkatkan lagi mutu saingan dalam liga tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai tajaan itu, Annuar berkata Hotlink Maxis merupakan penaja utama Kelantan pada musim ini yang  melibatkan jumlah tajaan paling besar. Bagaimanapun, nilai tajaan tidak didedahkan. – BERNAMA