Connect with:




ESPN melaporkan sebuah kelab Malta telah menawarkan kontrak selama dua tahun kepada raja pecut Olimpik, Usain Bolt yang sedang menjalani sesi ujian bersama kelab Australia, Central Coast Mariners.

Berita itu secara tidak langsung menimbulkan spekulasi bahawa Bolt bakal meninggalkan sesi percubaan di Australia demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pemain bola sepak.

Valetta FC yang merupakan juara Malta berkata, pihak mereka menaruh harapan tinggi agar Bolt bersetuju menurunkan tandatangan beliau ke atas kontrak yang ditawarkan sebelum sepak mula Piala Super Malta bertemu kelab Balzan, 13 Disember nanti.

“Kami di Valletta FC sentiasa mengalu-alukan kedatangan seorang juara dan bagi kami tiada yang mustahil dalam bola sepak termasuk membawa juara lapan kali Olimpik itu kesini,” lapor ESPN memetik kenyataan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Valetta, Ghasston Slimen.

Difahamkan perkara ini telah mendapat pengesahan dari ejen Bolt di Australia, Tony Rallis menurut laporan ESPN.

Meskipun mempamerkan peningkatan pada perlawanan ujian pramusim bersama Mariners, Bolt masih belum ditawarkan kontrak oleh Kelab Liga A itu.

Menurut jurucakap Mariners, masih belum ada perubahan melibatkan posisi Bolt di dalam kelab itu sekaligus memberi gambaran laporan mengatakan dia mungkin angkat kaki dari sesi ujian sebagai khabar angin.

Sebaik menjalani sesi ujian bersama Mariners, jaguh Jamaica berusia 32 tahun itu berulang kali menyatakan betapa beliau berharap ditawarkan kontrak sebelum kempen Liga A musim 2018-19 membuka tirainya minggu ini.

Bolt yang meledak dua gol ketika Mariners menang selesa 4-0 ke atas kelab amatur tempatan menjadi topik utama majoriti pengkritik bola sepak di Australia yang berpendapat beliau menunjukkan tanda-tanda peningkatan malah kecergasannya juga tampak meningkat.

Namun begitu, mereka turut mengatakan bahawa Bolt masih belum berada pada tahap terbaik untuk beraksi dalam kancah elit bola sepak Australia.

Foto : Facebook Usain Bolt

Sumber : AFP