Litar Phillip Island sekali lagi menjadi pentas kekecewaan buat pelumba Moto3 negara, Mohd Zulfahmi Khairuddin yang terpaksa menamatkan perlumbaannya dengan baki empat pusingan lagi untuk dihabiskan apabila mengalami masalah enjin di jenteranya.

Permulaan yang baik oleh Zulfahmi menyaksikan beliau mendahului perlumbaan sebaik sahaja ianya dimulakan walaupun beliau bermula dari barisan kedua. Beliau menahan asakan dari pelumba-pelumba lain termasuklah juara dunia; Sandro Cortese, Jonas Folger dan Efren Vasquez yang semuanya bermula dari barisan hadapan.

Namun apabila perlumbaan memasuki pusingan ke tujuh Zulfahmi mula dipintas oleh Cortese dan lain-lain pelumba apabila jentera beliau mula menampakkan tanda-tanda masalah teknikal. Kedudukan beliau terus jatuh ke tangga ke sepuluh selepas separuh dari perlumbaan dijalankan.

Beliau berjaya memperbaiki kedudukan ke tempat ke sembilan apabila pelumba Maverick Vinales terjatuh dan terkeluar dari perlumbaan di pusingan ke 15. Namun jelas jenteranya tidak mampu untuk meneruskan perlumbaan lagi menyaksikan Zulfahmi terjatuh di pusingan 19 dan menamatkan perlumbaan beliau dengan baki empat pusingan lagi yang tinggal.

Kegagalan menamatkan perlumbaan hari ini menyaksikan Zulfahmi turun satu tangga ke tempat ke lapan selepas mengumpul sebanyak 112 mata. Pelumba Portugal, Miguel Oliviera memintas Zulfahmi dengan kutipan 114 mata selepas berjaya menamatkan perlumbaan di Phillip Island ini di tempat kedua.

Pelumba tuan rumah yang berusia 17 tahun, Arthur Sissis memberi keceriaan kepada peminat tempatan apabila menamatkan saingan di tempat ketiga untuk mendaki ke tempat ke 11 keseluruhan dengan mengumpul 84 mata.

Sementara itu Cortese menambah 25 mata lagi untuk mengesahkan tempatnya di puncak carta pendahulu keseluruhan. Kutipan matanya sebanyak 305 mata tidak mampu lagi dicabar oleh dua rakan senegaranya Luis Salom dan Vinales yang masing-masing kini mengumpul sebanyak 208 dan 199 mata untuk bersaing di tempat kedua.

Dengan hanya satu pusingan di Valencia yang tinggal, Zulfahmi perlu mengenepikan kekecewaannya di Australia dan menumpukan sepenuh perhatian untuk memberi persembahan terbaik di pusingan 18 dalam masa dua minggu lagi, menurut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.