Connect with:




Keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menarik balik hak peganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia tahun ini disambut dengan pelbagai reaksi.

Berdasarkan komentar di laman sosial IPC, masyarakat antarabangsa khususnya dari Israel menyambut gembira keputusan tersebut namun bagi Malaysia, ia adalah bentuk solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

Ada yang menyebut bagaimana sukan tidak seharusnya menjadi pentas permainan agenda politik namun perkara yang sama juga dilakukan oleh pihak Israel.

Buktinya, Israel sendiri pernah melarang kemasukan pemain kelab Shejaia yang berpengkalan di Gaza untuk bermain perlawanan akhir Piala Palestine pada 2015.

Menteri Sukan dan Rekreasi Afrika Selatan, Thulas Nxesi juga pernah menjadi mangsa. Beliau memboikot perlawanan tenis antara Israel menentang Afrika Selatan di Johannesburg kerana tidak dibenarkan masuk ke Istael pada 2012. Puncanya? Nexsi merupakan seorang aktivis pro-palestin. Malah, tahun lalu, laporan menyebut Israel menolak 19000 permohonan pelancong untuk masuk ke negara tersebut.

Jika Israel boleh menyekat kemasukan orang luar atas faktor keselamatan, Malaysia yang mempunyai polisi tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel juga berhak untuk menafikan kemasukan rakyat mereka.

Bukan Malaysia sahaja yang berdepan isu sebegini. Beberapa negara lain juga pernah membuat keputusan yang sama seperti Indonesia, Tunisia, Maghribi, Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Pada tahun 2015, pemain badminton Israel, Misha Zilberman tidak dibenarkan masuk ke Indonesia yang ketika itu merupakan tuan rumah Kejohanan Badminton Dunia. Setelah campur tangan dari BWF, akhirnya Misha dibenarkan masuk, itu pun hanya untuk menyaksikan dirinya bermain dalam tempoh 34 minit sahaja sebelum tewas dalam pusingan pertama.

Tunisia mahu menganjurkan Sukan Olimpik Remaja 2022 selepas jawatankuasa olimpik antarabangsa (IOC) bersetuju memilih negara dari benua Afrika sebagai tuan rumah. Bagaimanapun, IOC menolak bidaan awal dari Tunisia kerana keengganan mereka memberikan jaminan kebenaran untuk atlet Israel masuk ke negara tersebut.

Bintang tenis Israel, Shahar Peer tidak dibenarkan masuk ke UAE untuk beraksi di Kejuaraan Tenis Dubai pada 2009. Tindakan itu menyebabkan penganjur kehilangan USD 300,000 dari penaja yang menarik diri atas protes yang dilakukan UAE. Peer bagaimanapun dibenarkan beraksi di Dubai setahun berikutnya.

Pada tahun 2017, Kejuaraan Judo Dunia dilangsungkan di Maghribi. Maghribi tidak memberikan visa kepada judoka Israel untuk masuk ke negara mereka. Sehari sebelum pertandingan bermula, atlet Israel yang ketika itu sudah berada di lapangan terbang di Maghribi dilihat hampir pasti akan dihantar pulang. Hanya selepas campur tangan Marius Vizer iaitu Presiden Persekutuan Judo Antarabangsa, mereka diberikan visa. Beberapa bulan sebelum itu, judoka Israel bertanding di UAE dengan syarat bendera Israel dan lagu kebangsaan mereka tidak boleh dimainkan. Di Maghribi, ia dibenarkan.

Tahun lalu, Arab Saudi telah ditarik hak mereka sebagai tuan rumah Kejuaraan Chess Rapid & Blitz Dunia selepas tidak membenarkan kemasukan atlet Israel. Persekutuan Chess Dunia kemudiannya memberikan hak tersebut kepada Rusia.

Perkara sebegini nampaknya tidak ada kesudahan selagi Israel memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada Palestin. Harus diingat, selain Malaysia, terdapat 34 negara lain yang tidak mempunyai hubungan diplomatik ke atas negara zionis itu.

Adakah polemik yang berlaku ini akan menghindarkan peluang Malaysia untuk menganjurkan acara-acara sukan antarabangsa selepas ini?

Mungkin ya jika ia acara yang melibatkan atlet dari Israel. Mungkin juga ia tidak memberi kesan berdasarkan rekod-rekod penganjuran Malaysia seperti Formula 1, MotoGP, Sukan Komanwel dan sebagainya.

 

Kredit Foto (AFP/Fadel Senna)