Masyuri Rahmat mencipta sejarah apabila berjaya menafikan Jeremy Koo dari bertanding dalam perlawanan akhir Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia (MMRC) 2012 Pusingan Ketiga apabila berjaya mengejar dari belakang di peringkat separuh akhir dan menewaskan pendahulu sirkit itu dengan keputusan 2-1.

Dengan Hazwan Hazim Dermawan juga berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir, ianya membuka kembali saingan MMRC 2012 dan wakil Malaysia ke Piala Monsun 2012 hanya akan ditentukan di Pusingan Ke-empat di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada akhir bulan November nanti.

Seperti yang dijangkakan, Jeremy menamatkan pusingan kelayakan dengan rekod sempurna, mencatatkan kemenangan dalam semua perlawanannya. Masyuri pula di tempat kedua dengan rekod 5-1, Hazwan mencatatkan rekod 4-2 untuk menduduki tempat ketiga sementara Harisfabillah Muhammad di tempat ke empat dengan rekod 3-3.

Jeremy membuat kejutan apabila memilih untuk bertemu Masyuri di peringkat separuh akhir.

Ketiadaan angin menyebabkan pegawai pertandingan membuat perubahan format dari ‘best of five’ kepada ‘best of three’.

Keputusan memilih Masyuri kelihatan tepat apabila dalam ‘flight’ pertama, Jeremy berjaya menewaskan skipper RMN Match Racing Team 1 itu dengan jarak lebih seminit. Namun Masyuri berjaya memaksa Jeremy melakukan kesalahan menyebabkan dia dikenakan penalti oleh pengadil.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh Masyuri dan beliau berjaya menyamakan kedudukan kepada 1-1. Dalam perlawanan penentuan, Masyuri berjaya mengekalkan momentum dan melintasi garisan penamat dengan Jeremy ketinggalan agak jauh di belakang.

Hazwan pula berjaya mengenepikan cabaran seorang lagi skipper TLDM, Harisfabillah dengan keputusan 2-0.

Perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga dan keempat dijadualkan bermula pada jam 10 pagi esok dengan format perlawanan akan ditentukan bergantung kepada keadaan angin.