Connect with:




Berbaki lima perlawanan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Liverpool sebelum melabuhkan tirainya Mei ini. Liverpool hanya dibeza dua mata didepan Manchester City yang kelebihan satu perlawanan. Ini bermakna setiap perlawanan yang akan dilalui Liverpool adalah sangat penting. Sebarang keciciran mata akan mengakibatkan kejuaraan liga akan punah dalam sekelip mata.

Walaupun kedudukan terkini masih belum berpihak kepada Liverpool dengan prestasi yang ditunjukkan Manchester City semakin menyakinkan untuk mencabar kejuaraan, Liverpool nampak yakin untuk bergelar juara EPL musim ini.

Musim ini mungkin merupakan musim yang akan merealisasikan hasrat Liverpool untuk bergelar juara EPL buat kali pertama sejak EPL diperkenalkan pada 1992 iaitu 27 tahun yang lalu. Sebelum EPL diperkenalkan Liverpool adalah juara 18 kali Divisyen 1 Football League dan kali terakhir pada musim 1989/90. Mungkin ini adalah antara faktor-faktor yang Liverpool miliki sekarang untuk bergelar juara mengikut pendapat kami.

Baki perlawanan lebih mudah berbanding Manchester City

Liverpool hanya tinggal lima sahaja perlawanan liga yang memberikan kelebihan dari segi persiapan pasukan manakala Manchester City berbaki enam perlawanan dan buat masa ini Liverpool kelebihan dua mata didepan Manchester City.

Namun apa yang memberi kelebihan kepada Liverpool adalah baki perlawanan pasukan kendalian Pep Guardiola itu mempunyai perlawanan yang lebih sukar. Manchester City akan berhadapan dengan Totenham Hotspur di Etihad pada 20 April dan musuh tradisi mereka Manchester United pada 25 April di Old Trafford.

Foto : EPL

Sebelum Manchester City bertemu Totenham di saingan liga, dua pasukan ini akan berentap dalam pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) pada 18 April, di mana Manchester City perlu bekerja keras setelah ketinggalan 1-0 kepada Totenham pada 10 April lalu.

Malah sudah pasti Totenham dan Manchester United akan memberikan saingan kuat kepada Manchester City bagi merebut empat pasukan teratas lagi untuk mendapatkan tempat ke UCL musim hadapan.

Manakala Liverpool hanya akan berhadapan dengan Chelsea pada 14 April di Anfield yang merupakan pesaing terkuat dalam baki perlawanan. Malah dalam saingan UCL Liverpool turut berjaya mendahului 2-0 ke atas Porto pada 10 April lalu.

 

Pertahanan solid jadi kunci Liverpool

Setakat ini Liverpool merupakan pasukan yang memiliki gol dibolosi paling sedikit di EPL hanya dengan 20 gol berbanding Manchester City dengan 21 gol. Liverpool mempunyai kualiti benteng pertahanan yang solid dengan gabungan pemain senior dan pemain muda seperti Trent Alexander-Arnold yang baru berusia 20 tahun.

Mana tidaknya kualiti pertahanan yang diketuai oleh pertahanan termahal dunia bernilai £ 75 juta, Virgil van Dijk menjadi kunci kepada Liverpool ketika bertahan. Liverpool sama sekali tidak akan berasa menyesal dengan mengeluarkan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkan seorang pertahanan dari Southampton itu dengan kualiti luar biasa yang ditunjukkan pemain berusia 27 tahun tersebut.

Foto: Yahoo Sports

Tidak dilupakan juga penjaga gol, Alisson Becker yang dibeli dari AS Roma yang bernilai £ 65 juta telah berjaya melakukan ‘clean sheet’ sebanyak 17 kali musim ini dalam saingan EPL. Ini membuktikan Liverpool merupakan antara banteng pertahanan yang paling terutuh dan solid dalam EPL musim ini.

 

Aura Jurgen Klopp

Siapa yang tidak kenal dengan pengurus yang dikenali dengan emosi dan semangat itu sehingga pernah didakwa oleh badan bola sepak England, Football Association (FA) selepas tindakan beliau berlari ke arah padang untuk meraikan gol kemenangan minit akhir Liverpool ketika menentang Everton di Anfield.

Jurgen Klopp dilantik sebagai pengurus Liverpool pada Oktober 2015 setelah mengambil alih dari Brendan Rodgers apabila Liverpool terumbang-ambing ketika di bawah kendalian Rodgers. Liverpool pada musim 2015/16 hanya sekadar ditangga ke lapan liga dengan hanya 16 kemenangan sahaja.

Selepas Klopp mengambil alih, mereka tidak memandang kebelakang lagi dengan pengurus berasal Jerman itu terus melakukan kerja keras dan membina Liverpool yang baru dengan semangat yang baru. Klopp menggunakan falsafah bola sepak moden yang pasti membuatkan peminat bola sepak teruja untuk menyaksikan persembahan bertenaga yang dipamerkan Liverpool.

Foto: Liverpool FC

Kloop berjaya membawa masuk pemain-pemain yang ramai orang tidak menjangkakannya sebelum ini tetapi berjaya menjadi bintang sepeti Mohammed Salah, Virgil van Dijk, Alisson Becker, Sadio Mane dan ramai lagi.

Malah Klopp berjaya menyatukan hati para pemainnya dengan kesungguhan, keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan kepada pemainnya bagi mencapai apa yang mereka impikan ditambah dengan slogan keramat mereka ‘You’ll Never Walk Alone’ (YNWA).

Kloop dengan bijak menggunakan kelajuan pemainnya yang diketuai oleh trio mereka iaitu Salah, Mane dan Roberto Firmino dengan taktikal menyerang. Malah Kloop sesekali tidak akan menyalahkan pemainnya jika mempamerkan prestasi buruk ketika perlawanan.

Malah beliau bijak menggunakan keadaan suasana dan situasi sebagai penyebab bagi mengalih prestasi buruk pemainnya. Pernah beliau menyalahkan angin, padang, rumput dan apa sahaja asalkan beliau dapat mengelakkan diri dari mempersalahkan pemainnya. Mungkin itu salah satu motivasi untuk tidak menjatuhkan moral pemainnya.

‘You’ll Never Walk Alone’ sentiasa dilaungkan sang setia

Pasukan mana yang berjaya tanpa penyokong setia, begitu juga Liverpool yang dianggap sebuah kelab bola sepak yang mempunyai penyokong yang istimewa kerana memiliki kesetiaan berdiri teguh bersama pasukan kesayangan mereka walaupun gagal meraih kejuaraan liga selama 29 tahun.

‘You’ll Never Walk Alone’ adalah lagu tema sentiasa dilaungkan hanya untuk Liverpool. Ia bukan sekadar lagu tetapi ia adalah simbolik kepada semangat dan kesetiaan yang luar biasa.  Lagu yang ditulis oleh Oscar Hammerstein II dan komposer oleh Richard Rodgers pada 1945 dan dinyayikan oleh Gerry and the Pacemakers telah menyuntik semangat penyokong setia Liverpool.

Lagu ini sangat sesuai untuk mengambarkan penyokong Liverpool yang setia dan musim ini adalah waktu yang tepat untuk Liverpool menbalas kepercayaan dan kesetian penyokong mereka itu dengan menjuarai EPL.

 

Foto : Liverpool FC