Foto : Affendi Anuar / DS

Kejuaraan Cub Prix yang dianjurkan untuk musim ke-19 pada tahun 2012, kini terus melangkah setapak lagi ke hadapan berikutan jalinan kerjasama unik dengan Universiti Selangor (UNISEL).

Dinamakan BIASISWA UNISEL CUB PRIX, program kerjasama pengajian ini akan berjalan selama 3 tahun sehingga 2014 dengan lima pelumba terbaik keseluruhan berkelayakan untuk mengikuti program-program Matrikulasi, Diploma atau Ijazah Pertama di universiti tersebut.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) telah diadakan di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, petang tadi.

Pada majlis perjanjian tersebut, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) diwakili oleh Pengarah Promoter, Ron Hogg manakala UNISEL diwakili oleh Naib Cancelor, Profesor Dr Anuar Ahmad dan disaksikan oleh YM Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha, Pengerusi AAM serta Puan Anita Azrina Abdul Aziz yang mewakili Petronas Motorsport

Menurut Dr Anuar, UNISEL akan menyediakan ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk menjadi pelumba profesional disamping dapat melanjutkan pengajian di bidang akademik ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya penuh yakin bahawa tanggapan masyarakat terhadap sukan permotoran ini telah berubah sedikit demi sedikit selama beberapa tahun. Melalui tawaran biasiswa ini, UNISEL berharap untuk sentiasa menjadi sebahagian daripada perubahan ini dengan menyumbang kepada pertumbuhan peribadi seorang pelumba,” kata Dr Anuar lagi.

Sementara itu, Ron Hogg berharap langkah ini menjadi titik permulaan kepada perkembangan sukan permotoran tanahair.

“Satu hari nanti kita bukan sahaja dapat melahirkan pelumba berbakat dan pantas di trek tetapi turut mempunyai pendidikan tinggi.

Tetapi pada masa yang sama, janganlah terlalu realistik untuk mengharapkan keputusan segera. Saya pasti kerjasama dengan UNISEL ini mengambil masa untuk mendapatkan keputusan,” ujar Ron lagi.

Kejuaraan Petronas AAM Malaysian Cub Prix 2012 akan membuka tirai perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 31 Mac dan 1 April ini.