Kejohanan Ping Pong IPT Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi edisi ketiga yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) bakal berlangsung dari 12 hingga 15 April depan  bertempat di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, Pahang dan bakal disertai lebih daripada 40 pasukan IPT seluruh negara termasuk Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti dan dijangkakan melibatkan lebih dari 400 atlet dan pegawai.

Untuk edisi kali ini, MASKOM bersama-sama Kolej Komuniti Wilayah Pahang yang diterajui oleh Kolej Komuniti Kuantan telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan kejohanan edisi ketiga ini setelah edisi pertama dan kedua berlangsung dengan jayanya di Kluang, Johor pada 2010 dan Ipoh, Perak pada 2011.

Pihak penganjur turut memaklumkan yang kejohanan kali ini turut dibuka kepada pelajar antarabangsa untuk mewakili institut pengajian masing-masing dengan harapan agar persaingan menjadi lebih sengit disamping meningkatkan dan memperluaskan persaingan antara peserta. Kejohanan kali ini menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai dan piala pusingan berjumlah RM16,000.00.

Dalam sidang media yang berlangsung di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu turut diumumkan penambahan acara dalam kejohanan tersebut iaitu beregu lelaki dan beregu wanita berbanding sebelum ini yang cuma mempertandingkan acara berpasukan serta individu lelaki dan wanita.

Media turut diperkenalkan dengan pemenang pingat gangsa Sukan Universiti ASEAN(AUG) di Chiangmai, Thailand dua tahun lalu, Poon Soon Cheong yang merupakan pelajar tahun dua Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Soon Cheong merupakan produk kejohanan ini yang telah memenangi tempat kedua dalam edisi pertama dan tempat ketiga dalam edisi kedua tahun lalu.

Majlis dihadiri oleh Encik Amir Md Noor, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK), Encik Mahmood Mohamad (Pengerusi dan Pengelola Kolej Komuniti Kuantan), Encik Ishanudin Hussin (Pengarah Kebajikan Pelajar JPKK), Puan Roslina Lapanditah (Pengerusi PST Ping Pong IPT, Kolej Komuniti Hulu Langat) serta Dr Saharudin Haji Ismail iaitu Setiausaha Bahagian Sukan KPT.