Selepas melengkapkan semua kejohanan peringkat negeri dalam tempoh tiga bula bermula Oktober hingga Disember 2017, Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM (ABNJL) sekarang ini sudah tiba ke Peringkat Akhir Kebangsaan bermula 11 hingga 14 Januari ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Kejohanan yang buat julung kalinya diadakan ini membabitkan peringkat remaja berjalan lancar dengan kerjasama AirAsia sebagai penaja utama dan beberapa penaja lain; ENRA Group Berhad, VICTOR Sports, Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Peringkat Negeri.

Di peringkat negeri, liga badminton antara sekolah menggunakan format sama seperti Piala Thomas/Piala Uber dan sasarannya ialah untuk mengenal pasti pemain berbakat dalam kalangan pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah. Setiap pasukan lelaki membariskan tiga perseorangan dan dua beregu, manakala pasukan wanita membabitkan dua perseorangan dan satu beregu.

“Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini. AirAsia sentiasa menjadikan mimpi kepada realiti dan liga ini sangat bertepatan dengan slogan itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

“Kami mahu pemain remaja negara untuk mencapai potensi terbaik mereka dan kami berharap, melalui platform ini, kami mampu menyokong impian mereka seterusnya membantu Malaysia untuk menjadi kuasa besar badminton dunia seperti sebelum ini,” tambahnya.

ABNJL sudah membuktikan cemerlang di peringkat negeri dengan pembabitan 242 buah sekolah, 349 pasukan, 200 lelaki dan 149 wanita dengan jumlah kesemuanya 2,930 pemain (1,926 lelaki dan 1,004 wanita}.

“Kami berjaya mencapai tahap penyertaan yang tinggi daripada pemain muda dan sekolah di seluruh negara, kami berharap pemain terbaik negara di peringkat dunia akan lahir daripada program ini. Terima kasih kepada AirAsia, salah satu daripada rakan kongsi kami dan semua badan negeri, kami sebenarnya mammpu untuk menyediakan sistem sokongan lebih efisyen untuk melahirkan pemain berbaka,” kata Norza.

Dalam Peringkat Akhir, setiap negeri akan diwakili satu pasukan kategori lelaki dan wanita. Dua pasukan dari setiap negeri akan membariskan pemain terbaik mereka dengan harapan dapat meraih kejuaraan sulung ABNJL.

Pemain yang berjaya muncul juara ABNJL akan mendapat peluang automatik menyertai Akademi Badminton Malaysia (ABM). Juara bagi setiap kategori pula akan menerima hadiah wang tunai RM20,000, naib juara RM15,000, tempat ketiga RM10,000 dan tempat keempat RM5,000, jumlah keseluruhan RM100,000.

Peringkat Akhir ABNJL tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai. Kehadiran mereka sangat ditagih untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing dan menyaksikan sendiri bintang masa depan beraksi.