2323

Dato’ Mohid bergambar bersama peserta-peserta kejohanan

 

Malaysia perlu berusaha melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda dalam sukan golf di peringkat antarabangsa sejajar dengan kapasiti Malaysia selaku antara penganjur kejohanan golf terbaik di dunia.

Selaras dengan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Akademi Kemahiran Belia Golf menganjurkan Kejohanan Golf Junior Swing Piala Ketua Setiausaha KBS 2012 yang berlangsung dari 18 hingga 20 Disember di Kelab Golf Perkhidmatan Awam. Kejohanan ini dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu bawah 10 tahun, bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun.

Bagi Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Mohid Bin Mohamed, kejohanan sebegini mampu memenuhi sasaran jangka masa panjang kementerian iaitu melahirkan atlet golf negara yang dapat beraksi di PGA dan LPGA Tour dalam masa 5 tahun akan datang.

“Kita harus terus menganjurkan program dan kejohanan sebegini untuk pemain-pemain muda kita demi pendedahan berguna buat mereka.

“Selain itu, ibubapa juga perlu memainkan peranan yang penting dengan memberi galakan sebaik mungkin kepada kareer anak-anak mereka dalam sukan golf ini” tambah Mohid.

Mohid berucap ketika majlis penutupan kejohanan yang diadakan di Akademi Kemahiran Belia Golf di Bukit Kiara pada petang Khamis. Beliau turut memberi hadiah kepada para pemenang kejohanan.

Dalam kejohanan tersebut, Lee Jeong Gin muncul juara kategori bawah 18 tahun. Chan Kai Zhane pula berjaya menjuarai kategori bawah 12 tahun sementara kategori bawah 10 tahun dimenangi Foo Tee Jui.