Sirkit akhir edisi kedua Kejohanan Golf IPT Malaysia Piala Ketua Setiausaha KPT bakal berlangsung pada 16 hingga 18 Mac 2012 bertempat di Kelab Golf Seri Selangor Kota Damansara. Meliputi dua sirkit utama iaitu sirkit satu yang telah berlangsung Februari lalu, kejohanan ini bakal menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM16,000.00.

Dalam sirkit pertama tempohari yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, peserta dari Universiti Utara Malaysia (UUM) mendominasi keempat-empat kategori yang dipertandingkan iaitu Lelaki, Perempuan, Berpasukan Lelaki dan Berpasukan Perempuan.

Menurut Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr Saharudin Haji Ismail, kejohanan ini bakal menjadi sebahagian dari pungutan mata dan pingat yang akan disumbangkan pada kemuncak Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang akan berlangsung dari 27 Oktober nanti.

“Selain itu, kejohanan ini bakal menjadi platform untuk KPT memilih atlet terbaik yang akan menyertai Kejohanan Golf Universiti Dunia (WUC) di Republik Czech Julai depan,” tambahnya lagi yang ditemui ketika majlis sidang media kejohanan ini.

Kejohanan yang diselenggara sepenuhnya oleh UUM ini menyaksikan peningkatan penyertaan kepada 70 orang peserta kali ini yang terdiri daripada pelajar dan mahasiswa IPTA, IPTS, Politeknik serta Kolej Komuniti. Pihak KPT amat berharap dapat melahirkan 30 peratus atlet negara dalam sukan golf ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UUM, Shafferi Rejab turut memaklumkan yang salah seorang produk dari kejohanan ini telah ditawarkan pro kad serta UUM tidak lama lagi bakal melancarkan Akademi Golf Nasional.

Dalam majlis yang sama, Dr Saharudin turut menerima sumbangan tajaan minuman kejohanan, Gatorade daripada Permanis Sdn Bhd, Air Asia dan Kelab Golf Seri Damansara selain tajaan daripada Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah dan Nilai Golf & Country Club.