Universiti Utara Malaysia (UUM) mengungguli Kejohanan Golf IPT Piala KSU-IPT 2012 yang berakhir di Kelab Golf Sri Selangor hari ini.

Dalam kejohanan yang masuk hari kelima, Muhammad Wafiyuddin Abdul Manaf berjaya mengekalkan prestasi cemerlang hari kedua untuk muncul juara dengan jumlah 373 pukulan. Setelah mendahului dengan 10 pukulan pada penghujung hari keempat, Wafiyuddin mencatatkan 77 pukulan. Biarpun Ahmad Fadali baharuddin berjaya mencatatkan 70 pukulan, namun kelebihan yang dibawa Wafiyuddin berjaya memastikan kejuaraan adalah milik Wafiyuddin. Ahmad Fadali yang juga merupakan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menamatkan kejuaraan di tempat kedua dengan 381 pukulan. Tempat ketiga kategori lelaki ini pula dimenangi oleh seorang lagi wakil UUM, Amirul Aizat Abdul Bahar dengan 382 pukulan.

Amirul Aizat kemudian berjaya menjuarai kategori berpasukan lelaki bergandingan dengan Muhammad Wafiyuddin. Tempat kedua berpasukan lelaki turut dimenangi oleh UUM melalui gandingan Mohamad Khairul Hafiz dan Muhammad Al Azim Mohd Azmi manakala tempat ketiga dimenangi oleh wakil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui gandingan Ahmad Farhan Syarif Ahmad Yasin dan Ahmad Munir Azlan Hanif.

UUM terus menunjukkan penguasaan pada kejohanan tahun ini apabila wakilnya Hillferah Tan berjaya memenangi Kategori Wanita dengan membuat 74 pukulan pada hari terakhir kejohanan untuk membawa kepada jumlah pukulan sebanyak 395 keseluruhan. Hillferah berjaya mengekalkan ketenangan untuk mengenepikan cabaran wakil dari UIAM iaitu Khairunhanisah Azlan Hanif yang menduduki tempat kedua dengan 405 pukulan dan seorang lagi wakil UUM iaitu Nur Diyanah Damian yang membuat 417 pukulan untuk menduduki tempat ketiga.

 

Hillferah Tan kemudian bergandingan dengan Nur Diyanah Damian untuk menjuarai kategori berpasukan wanita. Tempat kedua kategori ini dimenangi oleh satu lagi gandingan dari UUM iaitu Nur Dahiyah Damian dan Nur Syahiratul Nisaa Shahirul Anuar. UiTM muncul pemenang tempat ketiga kategori ini melalui gandingan Majidah Nazurah Muzaffar Syah dan Nurnabila Rosli.