Connect with:




Desaru, lokasi percutian di Johor yang semakin mendapat perhatian ramai ini telah menyaksikan pembangunan pelancongan yang rancak semenjak kebelakangan ini.

Kewujudan Hard Rock Hotel serta taman tema air menjadikan Desaru sentiasa dipenuhi pelancong tempatan dan luar negara saban minggu.

Kini Desaru boleh berbangga dengan satu lagi potensi yang ada pada pantai ini iaitu sebagai lokasi penganjuran sukan air bertaraf dunia. Baru-baru ini, seramai 43 peserta dari 14 buah negara telah menyertai siri Jelajah Kiteboard Asia (KTA) Asia-Pasific Hydrofoil – sebuah siri perlumbaan luncur layan-layang yang diiktiraf oleh Persatuan Kiteboarding Antarabangsa.

Sukan luncur layang-layang atau kiteboard merupakan sukan air yang semakin popular malah bakal dijadikan salah satu acara untuk dipertandingkan di Olimpik 2024 di Paris. Peserta perlu mengendalikan papan luncur ombak mereka yang diikat dengan payung yang akan memacu papan dan pengendali menerusi kelajuan angin. Ia sangat mencabar dan memerlukan pengendalian yang amat mahir, menjadikan sukan ini satu sukan yang cukup unik.

Pengarah Kejohanan, Willy Kerr berkata beliau sangat gembira dengan penganjuran edisi kedua di Desaru ini.

“Kita mengubah kalendar dan menganjurkannya pada bulan Julai berbanding Disember tahun lalu. Ia jelas satu keputusan yang positif dimana cuaca sangat baik dan bagi saya, Desaru adalah destinasi ideal untuk acara sukan air seperti kiteboarding ini” jelas Willy yang juga pengasas KTA.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn. Bhd, Roslina Arbak, beliau sangat berbangga melihat Desaru menjadi salah satu venue dalam siri perlumbaan kiteboard terkemuka Asia itu.

“Kita meneruskan momentum kecemerlangan yang dicapai menerusi penganjuran tahun lalu dan jelas tahun ini kita terus membuktikan kemampuan sebagai penganjur untuk acara sebegini.

“Kejayaan penganjuran ini juga menjadikan Desaru adalah destinasi ideal bukan sahaja sebagai destinasi sukan air malah kita juga menjadi pilihan untuk acara berasaskan hiburan dan gaya hidup” tambah Roslina.

Perlumbaan di Desaru menyaksikan penguasaan peserta China yang menjuarai dua kategori utama iaitu Jingle Chen (wanita) dan Waoran Zhang (lelaki). Soon Ho Kwon dari Korea pula memenangi kategori master lelaki. Wakil negara, Daniel Leow juga tidak mengecewakan selepas muncul pemenang tempat kedua kategori master lelaki dan kelima terbuka lelaki.