klfa

 

Beberapa bulan yang lalu, pasukan ini berada dalam dilema selepas status mereka pada saingan Liga Malaysia masih menjadi teka-teki akibat masalah kewangan yang melanda.

Namun, setelah  mendapat suntikan penaja, Kuala Lumpur kini dilihat seperti sebuah pasukan yang diberi nafas baru dan tekad melupakan kekecewaan yang lalu. Hasilnya, skuad warga kota berjaya menamatkan rentetan kemarau kejuaraan sepanjang 12 tahun dengan menjuarai KL Cup 2012 selepas menundukkan Polis 4-1 di pentas final. Untuk rekod, kali terakhir Kuala Lumpur menjulang piala adalah pada tahun 2000 iaitu Piala Sumbangsih.

Dibawah kendalian jurulatih baru dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky, Kuala Lumpur berjaya menampilkan aksi memukau sepanjang perlawanan. 2 gol awal penyerang muda Syafwan Shahlan (minit 18 dan 25) pada separuh masa pertama memberi amaran awal buat Polis betapa skuad warga kota ini tidak mahu kekalahan 1-2 di pusingan awal kejohanan berulang lagi.

Polis kemudiannya berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Kaye Edrisar selepas 3 minit babak kedua bersambung. Namun kedudukan 2-1 ini hanya bertahan 2 minit sebelum Munir Ahmad menambah gol untuk Kuala Lumpur menerusi sepakan percuma cantik. Syafwan kemudiannya melengkapkan malam gemilang Kuala Lumpur dengan jaringan hatriknya pada minit ke-65.

Kemenangan ini nyata menggembirakan peminat setia Kuala Lumpur yang hadir ke Stadium KLFA; gelanggang yang kembali bercahaya selepas berada dalam keadaan suram sejak kebelakangan ini. Kejayaan ini juga menjadi tonik terbaik buat Kuala Lumpur untuk memberi saingan dalam Liga Premier sekaligus kembali beraksi di Liga Super pada musim 2014.

Walaubagaimanapun, Stanislav berkata masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang saingan liga yang akan bermula beberapa minggu sahaja lagi.

“Saya tidak boleh beri sasaran lagi kerana masih belum berpeluang menyaksikan pasukan-pasukan lain beraksi tetapi saya percaya pemain-pemain saya mempunyai ramuan untuk bersaing dalam kempen Liga Premier ini” kata Stanislav ketika ditemui selepas perlawanan.

Bagi Syafwan yang menjadi wira Kuala Lumpur menerusi jaringan hatriknya, kejayaan ini menjadi permulaan baik buat pasukannya sambil mengharapkan agar persembahan sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Saya sasarkan sekurang-kurangnya 10 gol dalam saingan liga nanti namun apa yang lebih penting adalah saya dapat membantu pasukan kembali ke Liga Super” jelas anak muda berusia 19 tahun ini yang berasal dari Cheras.

Dalam pada itu, perebutan tempat ke-3 kejohanan dimenangi NS Betaria selepas berjaya mengalahkan Perlis dengan jaringan 1-0. NS Betaria membawa pulang pingat sementara Polis selaku naib juara membawa pulang RM 5,000 serta pingat. Juara iaitu Kuala Lumpur pula menggondol hadiah wang tunai RM 10,000, pingat serta piala pusingan.