Connect with:




Meskipun mengalami kekalahan tipis 0-1 menentang Kyrgyzstan semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berpuas hati dengan prestasi semasa skuad senior Harimau Malaya yang mendapat sentuhan pemain naturalisasi kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.

Hamidin menyifatkan kehadiran Sumareh memberi pilihan kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi memperkuatkan jentera serangan bagi menghadapi saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 yang akan bermula 8 November ini.

“Kehadiran beliau (Sumareh) tentunya memberikan banyak pilihan buat Cheng Hoe bagi mencari ramuan untuk memperkuatkan skuad kebangsaan. Berkenaan persembahan beliau semalam, masih terlalu awal untuk kita menilai,” katanya dalam sidang media Majlis  Pelancaran Program Diploma Eksekutif Pengajian Bolasepak dan Penyerahan Bendera Malaysia Kepada Pasukan Bolasepak UiTM Ke Asian University Sport Federation Football Championship.

Ditanya mengenai peluang skuad negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki tahun ini yang menunjukkan peningkatan prestasi di bawah kendalian Cheng Hoe, Hamidin memberitahu pihaknya tidak memberikan sebarang tekanan kepada pengendali Harimau Malaya itu.

“Sebagai presiden, saya menyokong sepenuhnya keputusan Cheng Hoe, baik dari segi pemilihan pemain mahupun taktikal, semuanya saya beri kepercayaan kepada beliau.

“Dan jika kita lihat perlawanan semalam, kita mempunyai lebih kurang 15 peluang namun kita gagal terjemahkannya kepada jaringan dan akhirnya kita tewas. Itulah bola sepak, kita memang melihat kepada persembahan di atas padang namun keputusan di akhir perlawanan juga mustahak. Jadi kita perlu beri Cheng Hoe dan pemain-pemainnya peluang.

“Kita tunggu perlawanan menentang Maldives dan juga perlawanan sebenar Piala AFF Suzuki nanti. Buat masa sekarang beri peluang kepada pengendali untuk merangka pasukan beliau dan Insyaallah minggu depan kita akan mengumumkan senarai pemain yang akan dibawa pada hari kejohanan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hamidin turut menyentuh mengenai sasaran yang diletakkan FAM kepada skuad senior dan bawah 21 tahun negara.

“Sasaran yang  saya dan FAM letakkan untuk kedua-dua pasukan senior dan bawah 21 tahun adalah untuk mara ke peringkat akhir. Skuad senior sasarannya pentas akhir Piala AFF Suzuki dan skuad bawah 21, pentas akhir Sukan SEA 2019.

“Namun ingin saya tegaskan disini itu hanyalah KPI, Cuma penanda aras dan ianya tidak bermaksud jika kedua-dua pengendali gagal membawa pasukan masing-masing ke peringkat akhir kami (FAM) akan terus menamatkan khidmat mereka. Sebaliknya kita akan duduk satu meja dengan mereka dan berbincang apa yang terjadi sepanjang kejohanan,” ujarnya lagi.