Connect with:




Kejohanan basikal tolak (push bike) terkemuka di Malaysia, Strider Cup yang masuk pusingan kesepuluh tahun ini berjaya mencatatkan penyertaan teramai sepanjang penganjuran dengan 174 peserta menyertai pertandingan di Wangsa Walk Mall, pada Ahad.

Lima kategori dipertandingan iaitu kategori 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun, 5 tahun dan kategori terbuka (sehingga enam tahun).

Selain peserta dari Malaysia, terdapat juga wakil dari negara-negara luar antaranya seperti Indonesia, Singapura dan juga Jepun.

Kejohanan turut diserikan dengan kehadiran adik Imran Ismail, juara dunia Strider Cup yang mencipta sejarah di Amerika Syarikat pada Julai lalu. Imran turut menunjukkan demonstrasi tunggangan kepada penonton yang hadir.

Menurut En.Rizal Yusoff, wakil dari Team Floww Kitt Bike iaitu pengajur kejohanan, kejayaan Adik Imran Ismail yang muncul juara dunia kejohanan Strider Cup 2018, sedikit sebanyak telah menarik perhatian lebih ramai ibubapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menyertai kejohanan ini.

“Acara sebegini sebenarnya dapat mengetengahkan bakat anak-anak kecil dari peringkat bawah lagi selain memberi peluang buat keluarga beriadah bersama-sama pada hujung minggu.

“Kami mendapat penyertaan teramai pada pusingan kali ini. Insyallah, sasaran kami pada pusingan kesebelas nanti adalah mendapatkan 200 penyertaan” jelas Rizal sambil menambah pusingan seterusnya dijangka akan diadakan pada Oktober 2018.

Kejohanan Strider Cup pusingan kesepuluh ini turut mendapat tajaan dari Strider Malaysia selaku pengedar basikal tolak Strider, Wangsa Walk Mall (penaja lokasi dan hadiah), Vitamin ‘Champs’, Air minuman HAUSBOOM, Drone Kajang, Loukas Studio Printing dan Dunia Sukan selaku rakan media.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Strider Cup, sila layari laman facebook Strider Malaysia di https://www.facebook.com/StriderMalaysia/.