Pertembungan kelompok bawah liga antara PKNS FC dan Kedah di Stadium MBPJ, Kelana Jaya berkesudahan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati sekadar berkongsi satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan.

Babak pertama menyaksikan aksi longgar Kedah dengan bahagian tengah lebih dikuasai PKNS FC, sementara benteng pertahanan Kedah yang diketuai Fauzie Nan pula dilihat amat mudah ditembusi lawan.

Kemasukkan Baddrol Bakhtiar dan penyerang, Mohd Faizal Abu Bakar dalam aksi babak kedua dilihat berjaya mengubah sedikit rentak serangan Kenari, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila dua percubaan dari mereka di hujung perlawanan gagal menembusi gawang PKNS FC.

Satu-satunya peluang terbaik yang dimiliki skuad bimbingan sementara Muhd Nidzam Adzha ini ialah pada minit ke-84 apabila tandukan Faizal Abu Bakar berpunca dari sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar, cuma singgah di palang gol.

Kuala Lumpur yang merentas Tambak Johor untuk menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura, terpaksa menerima kekalahan ketiga berturut-turut mereka dalam saingan awal liga musim ini. Lions XII menang 2-1 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Anak buah Razip Ismail dihukum pada minit ke-41 apabila pertahanan mereka, Aiman Syazwan menjaringkan gol sendiri untuk Lions XII di depan. Pemain tengah, Shahdan Sulaiman berjaya menambah jaringan buat tuan rumah pada minit ke-57.

Namun, pada minit ke-67, pemain pertahanan Lions XII, Safuwan Baharudin yang melakukan kekasaran di dalam kotak penalti dilayangkan kad kuning kedua memaksa pendatang baru Liga Super itu beraksi dengan 10 pemain dan Kuala Lumpur dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Fazuan Abdullah seminit kemudian.

Di Stadium Perak, Ipoh, Perak bangkit dengan dua gol untuk menundukkan Negeri Sembilan 2-1. Negeri Sembilan terlebih dahulu memimpin perlawanan hasil jaringan sepakan percuma pemain import, Effa Owona minit ke-5, sebelum dua jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-38 dan 50 memusnahkan impian Rusa untuk mengutip tiga mata penuh.

Sementara itu, di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, satu gol sudah cukup buat Terengganu untuk mengutip tiga mata penuh. Terengganu menundukkan Sarawak 1-0 hasil jaringan penyerang import, Francis Doe pada minit ke-36 dan kemenangan ini membolehkan mereka naik ke kedudukan ke-3 liga.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan berjaya menundukkan Johor FC dengan keputusan 2-1. Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-55 sebelum Mohd Khairul Ismail menyamakan kedudukan enam minit kemudian. Norshahrul Idlan Talaha muncul wira Kelantan apabila berjaya melepasi dua pertahanan sebelum menjaringkan gol pada minit ke-72.

T-Team pula yang menerima kunjungan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. T-Team gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri malah, Sabah dilihat beraksi lebih baik dengan beberapa serangan berbahaya, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang.

Dalam pada itu, aksi sebelah petang di Stadium Hang Jebat, Melaka, menyaksikan Felda United turun menentang Selangor. Felda United memanfaatkan beraksi di halaman sendiri apabila menewaskan Selangor 1-0 hasil jaringan pemain tengah, Azrul Ahmad minit ke-29.

Tamat perlawanan malam ini, T-Team kekal menerajui Liga Super tetapi terpaksa berkongsi kedudukan tersebut bersama Kelantan dengan 7 mata. Manakala, Kuala Lumpur yang tewas kali ketiga berturut-turut kekal di kedudukan tercorot liga dipisahkan hanya 2 mata dengan Kedah dan PKNS FC.