Connect with:




Skuad Helang Merah mencari momentum kemenangan mereka semula dalam tempoh cuti rehat Liga Super dengan mengadakan tiga perlawanan persahabatan di kawasan Lembah Klang.

Senarai perlawanan yang diatur sempena ‘Jelajah Lembah Klang’ ini bermula dengan aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 17 Mac, disusuli perlawanan menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam (18 Mac) serta UKM FC di Stadium UM Arena Kuala Lumpur (21 Mac).

Hebahan maklumat mengenai tempat dan tarikh perlawanan ini dibuat melalui laman rasmi Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akan menggunakan tempoh rehat 20 hari itu dengan perlawanan di luar Kedah sebelum kembali fokus saingan Liga Super untuk bertemu juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Aman.

Kedah kini berada di kedudukan ketiga Liga Super di belakang JDT dan Pahang dengan 11 mata hasil daripada tiga kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Dalam perkembangan lain, tiga pemain Kedah berada dalam skuad Tan Cheong Hoe bagi menghadapi saingan Piala Airmarine 2019 yang julung kalinya diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 20 hingga 23 Mac ini.

Tiga tonggak penting itu adalah Zaquan Adha, Rizal Ghazali dan Ifwat Akmal.

Sementara itu, dua pemain muda Kedah, Mohd Fazrul Danel Nizam dan Muhammad Asri Mohamad merupakan antara empat pemain yang kini menjalani latihan selama sebulan di kelab Cardiff City hasil kerjasama pembangunan yang terjain antara KFA dan CCFC.

Foto: Kedah FA