Connect with:




Selepas Lin Dan, Chen Long dan Son Wan Ho, kini giliran jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pula ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Masters Malaysia, semalam.

Pada aksi di Arena Axiata Bukit Jalil itu, pemain nombor dua dunia berkenaan tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 21-19, 18-21, 19-21 dalam tempoh 78 minit.

“Pada awalnya saya memang tidak merancang beraksi dalam kejohanan ini tetapi disebabkan ia berlangsung di Malaysia, saya perlu bermain. Sebab itu, saya tidak kisah tewas hari ini kerana ia bukanlah kejohanan yang menjadi keutamaan saya.

“Saya pun tidak buat persiapan terbaik untuk kejohanan ini. Kebiasaannya selepas tamat Siri Super Akhir setiap hujung tahun saya akan berehat selama dua atau tiga bulan sebelum memulakan aksi di Seluruh England pada Mac.

“Namun, kali ini saya perlu bermain dalam tempoh sebulan selepas Siri Super Akhir di Dubai Disember lalu,” kata Chong Wei ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu, berkata fokus dia kini terarah kepada persiapan bagi membantu skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, bulan depan.

“Kejohanan ini juga sebenarnya tidak ada dalam perancangan saya tetapi demi membantu skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Thomas, saya perlu beraksi. Ini pun kejohanan penting dan saya akan buat yang terbaik untuk membantu pasukan,” kata Chong Wei.

Dengan kekalahan Chong Wei, sandaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki kini diletakkan di atas bahu pemain muda, Lee Zii Jia dan pemain profesional, Liew Daren selepas masing-masing mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Zii Jia akan bertemu pemain Indonesia, Jonathan Christie manakala Daren bertemu Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan esok.