Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang terpaksa akur dengan kegagalannya dalam pusingan kalah mati acara pecut individu siri pertama Piala Dunia di Velodrom BGZ Arena di Pruszkow, Poland semalam.

Kegagalan ‘The Pocket Rocketman’ disebabkan oleh perlanggarannya dengan pelumba Jepun, Kanazuri Watanabe dalam acara keirin yang menyebabkan buku lali kaki kirinya terseliuh.

Azizulhasni gagal menempatkan dirinya dalam carta 28 pelumba terpantas pada sesi kelayakan.   Azizulhasni mencatat masa 10.195 saat di kedudukan ke-32 dan rakan senegara Shah Firdaus Sahrom mencatatkan 10.234 di kedudukan ke-34.

 

Siapa ‘The Pocket Rocketman’ ?

 

Mohd Azizulhasni bin Awang, lahir 5 Januari 1988, merupakan jaguh pelumba basikal trek professional Malaysia. Gelaran ‘The Pocket Rocketman’ merujuk kepada tubuh badannya yang kecil dan diumpamakan seperti peluru yang meluru laju di dalam trek basikal.

Beliau memecah rekod dengan menjadi pelumba Malaysia pertama yang memenangi pingat di kejohanan dunia, UCI Track Cycling World Championships dan di Sukan Olimpik.

Azizulhasni yang dilahirkan di Dungun, Terengganu merupakan anak ke-lapan daripada sembilan adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 48,Dungun dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar di Dungun sebelum melebarkan sayapnya ke
Sekolah Sukan Negara di Bukit Jalil.

Foto Kredit : Facebook ( Azizulhasni Awang )

Minat yang dipupuk sejak kecil kini telah menjadi kenyataan apabila beliau telah menjadi pelumba basikal trek nombor satu Malaysia malah namanya gah di persada antarabangsa.

Namun, tuah tidak menyebelahi buat Azizulhasni pada Februari 2011 ,apabila dia telibat dalam kemalangan dalam  perlawanan akhir acara keirin Piala Dunia pertama di Manchester. Kemalangan yang agak serius apabila serpihan kayu berukuran 20cm tegak menembusi betisnya. Disebabkan itu, dia telah diketepikan daripada Kejohanan Dunia tahun itu.

Minat terhadap sukan berbasikal ini telah membuatkanya tabah dan bersungguh untuk bangkit selepas insiden itu. Komitmen yang ditunjuknya itu telah membuahkan hasil apabila menjadi Juara Dunia Acara Keirin di dalam Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017.

Azizulhasni adalah atlet terpilih untuk membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang untuk pasukan kebangsaan Malaysia di Sukan Olimpik Beijing 2008. Dia juga memenangi pingat perak pertamanya pada kejuaraan lumba basikal dunia pada 2009 dan pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

 

Foto Kredit : Asiana.my