Connect with:




Biarpun terpaksa beraksi dalam kesakitan, atlet lompat jauh kebangsaan, Abdul Latiff Romly tetap menepati ramalan apabila mempertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, hari ini.

Kecederaan  buku lali kanan yang dialami semenjak seminggu sebelum acara itu bermula nyata merencatkan impian Latiff untuk memecahkan rekod Sukma yang dipegang atlet Perak, Mohd Hazuan Zainal Abidin dengan lompatan sejauh 7.55 meter (m) pada Sukma 2002 di Sabah 16 tahun lalu.

Lompatan sejauh 7.46m yang dilakukan anak muda dari Kampung Paya Kelubi, Arau itu telah memadai untuk pingat emas keenam buat kontinjen Perlis.

Ketinggalan dengan 0.07m di belakang Latiff, atlet Sabah, Andre Anura @ Anuar meraih pingat perak dengan lompatan sejauh 7.39m sementara gangsa menjadi milik wakil Kedah, Muhamad Nazri Mustafa (7.28m).

“Agak terkilan kerana gagal memecahkan rekod kejohanan tambah lagi ini adalah Sukma terakhir saya, walaupun gagal mencipta rekod tapi saya tetap bersyukur  kerana mencapai sasaran kontinjen Perlis untuk menghadiahkan pingat emas.

“Kecederaan buku lali yang saya alami memberikan rasa kurang selesa malah ianya sedikit mengganggu fokus saya semasa melakukan lompatan, mungkin itulah punca saya gagal merekodkan lompatan lebih baik dan pada lompatan terakhir rasa sakit serta‘cramp’ di bahagian kaki kembali dirasai semasa melakukan pendaratan,” katanya kepada wartawan.

Latiff yang akan terbang ke Indonesia bagi menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Oktober nanti memasang impian untuk meleburkan rekod milik atlet Jepun, Tetsunori Matsumoto (6.13m) dalam acara lompat tinggi T20 (masalah pembelajaran).

“Sekarang fokus teralih kepada Sukan Para Asia pula dan saya berazam untuk mencipta rekod baru kejohanan di Jakarta kelak, namun bergantung pada hari kejadian dan harapnya tiada lagi kecederaan melanda ketika itu,” jelasnya lagi.

Catatan terbaik peribadi yang pernah dilakar Latiff adalah di Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur Ogos lalu dengan lompatan sejauh 7.85m.