Subahan yakin skuad kebangsaan berada di landasan yang betul

Walaupun dibelenggu masalah pemain cedera, skuad Harimau Malaya tetap optimis untuk buru mata pertama pada perlawanan
Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, pada 6 Feb depan.

Pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Subahan Kamal berkata masalah pemain cedera sebelum bermulanya kem latihan pusat bukanlah satu masalah yang berat dan tidak akan menjejaskan persiapan pasukannya.

“Kita akan tengok balik sama ada ingin menganti tempat pemain cedera dengan pemain yang baharu dan saya akan bincangkan perkara ini dengan lebih terperinci
bersama ketua jurulatih negara Datuk K.Rajagobal nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata besar kemungkinan tiga pemain kebangsaan iaitu Wan Zack Haikal, Amri Yahya dan
Mohd Amirul Hadi Zainal akan dipanggil bagi menganti tempat K.Gurusamy, Mohd Bunyamin Omar, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Mohd Safee Sali yang kini mengalami kecederan.

Beliau berkata walaupun Qatar adalah pasukan yang kuat, namun ia bukan alasan untuk Skuad Harimau Malaya tewas sebaliknya, kenyataan itu harus dijadikan sebagai perangsang untuk semua pemain.

“Kalau dapat seri pun dah kira baik, setidak-tidaknya kita mampu membawa pulang satu mata pertama dan tidak pulang dengan tangan kosong pada 7 Feb
nanti,” katanya.

Subahan berkata beliau percaya dengan kemampuan jurulatih K.Rajagobal mengatur strategi bagi pasukan Harimau Malaya menentang Qatar nanti.

Dalam masa sama, Subahan juga berkata beliau tidak memandang remeh perlawanan persahabatan menentang Iraq di Dubai pada 31 Jan ini.

“Kita sedia maklum bahawa Iraq adalah bukan calang-calang pasukan dan kita perlu bekerja keras jika ingin mengatasi mereka walaupun di perlawanan persahabatan,” katanya.

Beliau berharap pemain akan menguna sebaik mungkin perlawanan tersebut
sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan yang lebih penting menentang
Qatar. – BERNAMA