Connect with:




Pengumuman barisan 23 pemain ke kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak ASIA (AFF) Suzuki 2018 semalam menyaksikan, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menggugurkan tiga pemain dari senarai pasukan ke kejohanan terbesar Asia Tenggara itu.

Pemain tersebut adalah Nor Azam Abdul Azih, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Azizan Nordin. Cheng Hoe bagaimanapun dilihat mengekalkan lapan pemain daripada skuad edisi 2016 yang terkandas di peringkat kumpulan.

Lapan pemain tersebut ialah Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Hazwan Bakri, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Razak serta dua penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Khairul Fahmi Che mat.

Menurut Cheng Hoe, pengguguran Azam dan Azizan adalah kerana beliau enggan mengambil risiko melibatkan kecergasan kedua-dua pemain itu yang tidak berada pada tahap terbaik.

“Saya enggan ambil risiko kerana Azam sedang berhadapan masalah hamstring, memang boleh beraksi tapi beliau kena bergantung dengan perubatan setiap kali turun ke padang dan itu tidak baik untuk kecergasan pemain sementara Azzizan pula tidak sempat untuk pulih dari kecederaan pergelangan kaki,” katanya.

Selain itu seorang lagi pemain yang digugurkan adalah tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Azrif Nasrulhaq yang gagal menepati kecergasan yang dimahukan Cheng Hoe.

“Azrif beraksi baik dan mempunyai kemampuan namun kami terpaksa gugurkan beliau kerana mengambil masa untuk menyesuaikan diri dalam pasukan,” tegasnya.

Senarai tersebut dikeluarkan selepas aksi meyakinkan skuad kebangsaan ketika menundukkan Maldives dengan keputusan 3-0 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Pertembungan dengan Maldives boleh dianggap sebagai aksi ‘pemanas badan’ buat skuad kebangsaan sebelum Piala AFF Suzuki bermula Khamis ini dan jentera serangan Harimau Malaya dilihat kembali bernafsu apabila berjaya meraih tiga gol hasil ledakan Zaquan pada separuh masa pertama sebelum Safawi dan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh turut mencetak nama selaku penjaring 10 minit sebelum perlawanan berakhir.

Cheng Hoe turut mengulas mengenai perlawanan tersebut yang mana beliau berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan anak-anak buahnya namun merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki jika mahu keluar sebagai juara di hari kejohanan nanti.

“Pujian buat barisan pemain kerana berjaya meraih kemenangan moral dengan menewaskan Maldives malam ini (kelmarin) dan bagi saya perlawanan ini bukan mudah buat kami kerana pasukan lawan mempunyai kualiti terutama ketika mereka bertahan.

“Namun saya lega kerana pemain berjaya merangka idea untuk memecah benteng pertahanan lawan bagi menghasilkan gol. Cuma masih ada beberapa kelemahan ketara yang harus kita perbaiki sebagai contoh masalah kurang fokus di kalangan pemain serta cepat hilang bola ketika menerima tekanan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana pemain cukup komited untuk memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Skuad negara yang kini pada ranking ke-169 dunia bakal membuat perhitungan dengan Kemboja di Stadium Nasional, Phnom Penh bagi aksi pembukaan Piala AFF Suzuki bermula Khamis ini.

Seterusnya, Harimau Malaya bakal berdepan Laos pada 12 November dan Vietnam pada 16 November sebelum mengakhiri aksi kumpulan A bertemu Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November ini.

Tan Cheng Hoe dan anak-anak buahnya bakal membawa misi menamatkan kemarau kejuaraan Piala AFF Suzuki setelah kali terakhir melakukannya pada edisi 2010 ketika dibawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.

 

Senarai 23 pemain: 

Penjaga gol: Farizal Marlias (JDT); Khairul Fahmi Che Mat (Melaka); Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak)

Pemain Pertahanan: Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin (JDT); Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim (Perak);  Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur);  Muhammad Syahmi Safari (Selangor)

Pemain Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT); Muhammad Akram Mahinan (Kedah); D. Kenny Pallraj (Perak) Pemain Sayap: Muhammad Safawi Rasid (JDT); Mohd Syazwan Zainon, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah); Mohamadou Sumareh (Pahang)

Penyerang: Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur); Norshahrul Idlan Talaha (Pahang); Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Nakhon Ratchasima)

 

Foto : Facebook Football Association of Malaysia (FAM)

Sumber : Fox Sports