Victoria Institution (VI) hanya bersaing di peringkat Ragbi Perdana pada siri Super6 musim ini. Dibandingkan dengan 6 pasukan ragbi sekolah terkuat di Malaysia iaitu STAR, MCKK, Semashur, SDAR, Sekolah Alam Shah dan SM Sains Selangor – peluang VI untuk pergi jauh pada kempen Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airport dilihat agak tipis.

Namun telahan tersebut ternyata silap. VI – juara Ragbi Perdana dan juga juara MSSKL tahun ini telah menunjukkan satu prestasi mantap dan mengagumkan.

“Nak banding dengan pasukan-pasukan lain, memang kami jauh ketinggalan dalam ragbi ini. Kami selesa dengan status underdog tetapi apa yang kami capai hari ini adalah hasil usaha keras sejak tiga tahun yang lepas” jelas Rozan Yahya, jurulatih pasukan ragbi VI.

Rozan berkata, kebangkitan VI dalam ragbi bermula pada 2015 dimana mereka muncul juara MSSKL bawah 15 tahun. Momentum tersebut dibawa hingga ke tahun ini dengan pasukan yang dibarisi pemain yang sama.

“Ini kelompok pemain yang kita kekalkan sejak tiga tahun lepas. Menariknya, kami barisan kejurulatihan gilap mereka dari bawah kerana mereka awalnya bukanlah pemain ‘star’.

“VI lebih terkenal dengan kejayaan pasukan bolasepak tetapi hari ini, kami boleh berbangga dengan pencapaian pasukan ragbi malah kita berjaya melahirkan dua pemain kebangsaan ketika ini yang lahir dari program ragbi VI” jelasnya lagi.

Dalam aksi final yang berlangsung di UIAM, Gombak pada Sabtu, VI jelas menguasai perlawanan dari minit pertama lagi. Sepakan penalti pada awal babak separuh pertama yang disempurnakan oleh Muhammad Haziq Akmal Jamaluddin sebelum sekolah yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini menjarakkan jurang melalui “try” Muhammad Afif Nurazha dan “conversion” Haziq selepas waktu rehat.

Mendahului 10-3 dengan hanya berbaki beberapa minit lagi perlawanan, VI dikejutkan dengan try oleh MCKK pada saat akhir namun kegagalan conversion menyebabkan sekolah dari Perak ini berputih mata melihat VI meraikan kemenangan 10-8 ini.

“Kami tahu MCKK mempunyai ‘back line’ yang sangat hebat. Sebab itu saya katakan kepada pemain jangan biar mereka dapat bola dan menyerang dari back line. Pemain ikut arahan dan berjaya mengawal permainan.

“Kejayaan ini saya sifatkan adalah hasil usaha semua pihak – sekolah, ibu bapa, VIOBA (Persatuan Alumni Victoria Institution), bekas-bekas pelajar dan pemain-pemain sendiri. Ia menaikkan lagi semangat kami untuk terus berjaya di peringkat yang lebih tinggi” jelas Rozan.