Logo Liga Super

Kebangkitan Pahang pada separuh masa kedua berjaya menenggelamkan barisan bintang Darul Takzim FC sekaligus memberi amaran awal kepada pasukan lain untuk tidak memandang rendah keupayaan TokGajah walaupun mereka hanyalah pendatang baru Liga Super pada musim ini

Kekalahan Darul Takzim ini turut memberi tamparan awal buat skuad Harimau Selatan ini dalam menepati ramalan menjadi pasukan utama merebut kejuaraan.

Darul Takzim pada mulanya menguasai perlawanan menerusi serangan serangan berbahaya yang direncanakan bintang Sepanyol, Dani Guiza. Minit ke-11 , hantaran lintang menarik dari Guiza berjaya ditanduk masuk Safiq Rahim untuk membawa pasukan pelawat 1-0 dihadapan.

Guiza sekali lagi menjadi pencetus gol untuk Darul Takzim dengan melorongkan bola kepada Nurshahrul Idlan Talaha sebelum bekas penyerang Kelantan ini menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nordin.

Jangkaan ramai bahawa Darul Takzim bakal ‘kenduri’ gol di separuh masa kedua ternyata meleset selepas anak buah Dollah mempamerkan permainan yang lebih kemas sebaliknya Darul Takzim kehilangan punca untuk mengulangi permainan menarik babak pertama.

Semuanya berpunca dari tindakan Dollah yang menyedari rangkaian penyerang import mereka, Nikolche Kleckaroski dan Mohamed Borji gagal mempamer permainan berkualiti sekaligus menggantikan  mereka dengan Fauzi Roslan dan R.Gopinathan.

popo

Kemasukan 2 pemain lincah ini ternyata berhasil dengan Pahang kerap kali menembusi benteng pertahanan lawan yang diketuai Muslim Ahmad. Akhirnya Pahang berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan padu Fauzi pada minit ke-50.

Pada minit ke-72, Fauzi sekali lagi menjadi wira Pahang selepas menyumbat gol penyamaan menerusi tendangan ‘placing’ menarik untuk menewaskan penjaga gol Darul Takzim, Al-Hafiz buat kali kedua.

Tok Gajah terus mengamuk menerusi asakan berbahaya sehinggalah R.Surendran menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke-82. situasi ini nyata memeningkan Fandi Ahmad yang memasukkan Safee Sali di penghujung perlawanan untuk sekurang-kurangnya memperoleh 1 mata.

Walaubagaimanapun, pertahanan Pahang bermain dengan baik untuk mengelakkan gawang mereka bocor sekaligus menghadiahkan 3 mata pertama buat Dollah Salleh dalam kempen liga.

“Babak pertama kita melepaskan 2 gol mudah. Mujur diseparuh masa kedua kita bermain dengan lebih teratur walaupun menggunakan 100% pemain tempatan. Kemenangan ini juga membuktikan Pahang berjaya menolak jangkaan ramai yang memilih Darul Takzim sebagai ‘favourite'” kata Dollah Salleh.

Pengendali Darul Takzim, Fandi Ahmad pula nyata hampa dengan barisan pertahanannya yang dilihat menjadi punca kekalahan pasukannya malam tadi.

“Pertahanan gagal bermain baik di separuh masa kedua. Mereka lebih banyak memerhatikan bola semasa diserang. Komunikasi antara pemain juga kurang berkesan selain kegagalan barisan serangan menyudahkan peluang yang terhidang.

“Tahniah buat Pahang yang bermain baik malam ini (semalam). Yang pasti, kami akan bangkit dan kerja keras untuk perlawanan seterusnya” ujar Fandi.

Selepas ini Darul Takzim akan beraksi menentang Perak pada Sabtu sementara Pahang akan berkunjung ke MBPJ menentang Felda United.

______________________________

Lain-lain keputusan Liga Super:

Terengganu 1-1 Felda United
Selangor 1-0 Negeri Sembilan
Perak 1-0 T-Team