Kayuhan Hijau Alam Sekitar 2012 yang diadakan bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2012 bertemakan ‘Green Economy : Does It Include Me’ telah dihadiri pelbagai lapisan masyarakat di Taman Tasik Cempaka, Bangi baru-baru ini.

Program ini anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM Bangi,  Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). CANON pula tampil sebagai penaja utama.

Seramai 280 peserta telah menyertai kayuhan ini dimana sebahagian peserta datang daripada mahasiswa dan kakitangan UKM, Canon Opto Malaysia Sdn Bhd, Canon Marketing Malaysia, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kelab Berbasikal Bangi, Kelab Berbasikal Sungai Merab, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rakan Alam Sekitar (RAS) dibawah JAS Selangor.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Khairil Khuzairi Omar iaitu Imam Masjid UKM. Selepas bacaan doa, kesemua peserta dilepaskan oleh Puan Siti Zaleha Bt Ibrahim selaku pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor.

Menurut Prof. Madya Dr. Ahmad Fariz Mohamed selaku jurucakap penganjur berkata,  objektif utama LESTARI bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menganjurkan program ini adalah untuk menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan rakyat yang mengamalkan gaya hidup sihat, membentuk jaringan dan perhubungan yang baik diantara peserta basikal seluruh Malaysia yang berbilang kaum (1 Malaysia) serta memperkenalkan sukan berbasikal Mountain Bike (MTB), Roadbike dan Fixie kepada masyarakat setempat dan mendekatkan masyarakat kampus UKM dengan penduduk sekitar Bandar Baru Bangi.

“Memandangkan sambutan yang diberikan oleh peserta amat menggalakkan, pihak kami akan menjadikan kayuhan ini sebagai program tahunan LESTARI,” kata Ahmad Fariz lagi.

Sementara itu,  Muhamad Azlan Amran, Pengurus Besar Kanan CANON berkata, sebagai sebuah syarikat multi nasional yang berpangkalan di Tokyo, Jepun, Canon Opto Malaysia sangat mengalu-alukan program seumpama ini, kerana ianya selaras dengan pelaksanaan polisi Canon korporat sedunia, yang meletakkan polisi jaminan alam sekitar EQCD di mana E adalah merujuk kepada “Environment” atau alam sekitar dan ianya diletakkan di hadapan huruf Q,C,D iaitu “Quality”, “Cost”, dan “Delivery”.  Polisi EQCD, yang mengutamakan alam sekitar memberi makna bahawa  sesuatu produk itu hanya layak di hasil dan dipasarkan apabila faktor-faktor alam sekitar dan kesannya dikenal pasti dan dikawal.

Tambahnya lagi adalah tidak bermakna sekiranya sesebuah organisasi pembuatan hanya menghasilkan produk bertaraf dunia, tetapi dalam masa yang sama mengabaikan penjagaan alam sekitar, malah lebih teruk lagi secara sedar turut serta dalam mencemarkan alam sekitar. Canon sedunia mengamalkan falsafah korporat yang dikenali sebagai “kyosei”. Secara ringkasnya “kyosei” bermakna hidup dan bekerjasama demi kebaikan semua. Falsafah ini menginspirasikan  pencapaian dan pertumbuhan korporat harus berlandaskan kepada kemakmuran dan kebahagian manusia tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.

Sejajar dengan kombinasi falsafah korporat “kyosei” dan polisi jaminan alam sekitar EQCD, program Mini Karnival  Alam Sekitar ini yang intipatinya bertujuan untuk memupuk kecintaan terhadap penjagaan alam sekitar sememangnya berketepatan dengan kombinasi falsafah korporat yang diamalkan oleh seluruh Canon sedunia. Penjagaan alam sekitar serta pencegahan pencemaran atau “pollution prevention” merupakan amalan yang harus disemai oleh setiap individu dan masyarakat demi kemakmuran dan kepentingan kehidupan semua makhluk.

Selain aktiviti kayuhan berbasikal,  pihak penganjur juga mengadakan pertandingan fotografi yang untuk semua peserta dan kanak-kanak  yang hadir dalam sambutan ini.

Rahman Rasul peserta daripada Kelab Berbasikal Sungai Merab teruja untuk menyertai kayuhan dan menyambut baik usaha penganjur mengadakan pertandingan fotografi.

“Selain dapat merehatkan minda dari kesibukan kerja dengan mengayuh, saya juga dapat mengasah bakat dalam bidang fotografi.

Pertandingan fotografi telah dimenangi oleh Muhamad Arif Affandy Abdullah diiukuti Mohd Faizal Razmi dan Zolkopli Saidin. Kesemua pemenang untuk pertandingan fotografi ini menerima kamera digital tajaan dari Canon Malaysia.