“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya kerana pernah tewas di tangan Fenrir dalam kejohanan atas talian pada minggu lalu,” kata Juara Fifa18 Malaysia Cyber Games, Kathireswaran Sugumaran selepas berjaya menunduk Fenrir (Luqman Haziq) pada perlawanan akhir Fifa18 Malaysia Cyber Games, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Kathireswaran atau senang dikenali sebagai Kathi turut membawa pulang RM15,000 melalui kemenangannya itu dalam pusingan terakhir FIFA 18 MCG.

“Pada mulanya, saya kalah pada pusingan pertama, namun saya meraih kemenangan pada pusingan seterusnya menerusi tendangan penalti.

“Kemudian, menerusi perlawanan ketiga, saya memilih pasukan Atlético Madrid kerana saya selesa bermain menggunakan pemain-pemain dalam pasukan itu.

“Hasilnya, saya dapat kalahkan Fenrir (Luqman Haziq),” ,” katanya selepas selesai perlawanan akhir FIFA 18 MCG.

Fenrir yang berada di kedudukan kedua kejohanan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala Shige (Boon Shin) daripada pasukan Fire Dragoon sekadar meraih tempat ketiga dan membawa pulang RM5,000.

Sementara itu, Kathi berharap penyertaan MCG pada tahun hadapan dapat dibuka kepada pemain antarabangsa memandangkan kejohanan ini mempunyai permintaan yang tinggi.

“Ramai kawan saya daripada Singapura dan Indonesia mahu sertai MCG. Jadi saya harapkan MCG menjadi satu kejohanan antarabangsa,” katanya.

MCG yang berlangsung sejak Sabtu lepas disertai lebih  dari 1,000 peserta menerusi sembilan jenis permainan video popular di negara ini termasuk FIFA 18.

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang yang terkumpul sebanyak RM300,000.

Foto Kredit: Khatireswaran